PUTRAJAYA perlu memastikan perjanjian dengan China telus bagi meraih keyakinan rakyat yang pelaburan itu boleh memberi manfaat dalam jangka masa panjang, kata seorang penganalisis ekonomi dan sosial.
Ketua Eksekutif Institute for Democracy and Economic Affairs (Ideas), Wan Saiful Wan Jan berkata yang ketika ini urus niaga antara Putrajaya dan China kurang ketelusan sehingga mencetuskan banyak kritikan.
“Apa yang kita perlu pastikan adalah ada peraturan undang-undang. Ada ketelusan. Ada tadbir urus yang baik dalam semua pelaburan yang masuk ke dalam negara ini.
“Selagi mana kita boleh pastikan perkara itu, saya pasti ia akan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi,” kata Wan Saiful kepada wartawan pada sebuah forum di Kuala Lumpur hari ini yang membincangkan hubungan ekonomi antara Malaysia, Amerika Syarikat dan China.
Wan Saiful juga mengatakan yang pelaburan China secara dasarnya adalah bagus untuk negara tetapi ia mengundang kritikan disebabkan kurangnya maklumat diberikan kepada rakyat.
“Saya fikir ketika ini banyak kebimbangan kerana maklumat sedia ada tidak banyak.
“Jika kita kongsi maklumat dengan rakyat dan beritahu mereka bagaimana (pelaburan) akan beri manfaat kepada mereka, saya pasti tidak akan ada banyak kritikan,” katanya.
Beliau turut menambah yang Malaysia perlu bersiap sedia untuk menerima lebih banyak pelaburan dari China selagi mana ia dibuat berasaskan undang-undang dan prinsip ketelusan.
Beijing dan Putrajaya mula bekerjasama dalam projek pembinaan infrastruktur di Malaysia, seperti projek Landasan Keretapi Pantai Timur bernilai RM55 bilion yang akan dibina dan dibiayai China.
Projek gergasi lain yang mempunyai penglibatan China termasuklah Tun Razak Exchange, Forest City di Johor dan pelbagai projek pelabuhan.
Penglibatan China dan kekurangan ketelusan maklumat perjanjian urus niaga ini menarik kritikan pembangkang.
Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar berkata urus niaga itu boleh mempunyai kesan buruk kepada rakyat kerana ia dibiayai menggunakan pinjaman mudah dikeluarkan bank China yang perlu dibayar bunganya.
Beliau juga mendesak rakyat Malaysia supaya merasa bimbang dengan kurangnya ketelusan dan kebertanggungjawaban urus niaga perjanjian yang dilakukan Putrajaya dan China yang mencecah RM140 bilion kini. – 12 September, 2017.
Komen