May tawar diri letak jawatan jika Brexit diluluskan


Perdana Menteri Theresa May berkata akan meletakkan jawatan jika ahli Parlimen Britain kali ini menyokong cadangan perjanjian Brexit yang dibawanya. – Gambar AFP, 28 Mac, 2019.

PERDANA Menteri Theresa May menawarkan untuk meletak jawatan jika perjanjian pemisahan dengan Kesatuan Eropah (EU) – Brexit yang dua kali ditolak diluluskan dalam cubaan ketiga, ketika ahli Parlimen masih gagal mencari jalan keluar kebuntuan itu yang menyebabkan Britain berdepan krisis.

Kehabisan pilihan dan berdepan risiko hilang kawalan terhadap proses keluar EU, May secara dramatiknya mengumumkan beliau akan meletak jawatan jika ahli Parlimen akhirnya menyokongnya dengan perjanjian itu.

Tawaran itu diumumkannya beberapa jam sebelum House of Commons mengadakan siri undi yang kali pertama diadakan bagi mencari pelan alternatif – tetapi akhirnya hanya menyerlahkan lagi perpecahan dalam kalangan ahli Parlimen.

Tidak ada satu pun daripada lapan cadangan yang dibawa mendapat majoriti, dan Menteri Brexit Steve Barcla berkata itu “mengukuhkan lagi pandangan kami bahawa rundingan kerajaan kami pilihan terbaik”.

Sudah dua kali ahli Parlimen menolak perjanjian Brexit dibawa May, dengan kedua-duanya menerusi majoriti besar, tetapi beliau masih cuba meyakinkan mereka – dan pada Rabu, itu adalah tawaran terakhirnya.

“Saya tahu ada keinginan untuk pendekatan baharu – dan kepimpinan baharu – dalam fasa kedua rundingan Brexit dan saya tidak akan menghalangnya,” katanya dalam pertemuan dengan ahli Parlimen Konservatif.

“Tetapi kita perlu selesaikan perjanjian ini dan melaksanakan Brexit. Saya bersedia meninggalkan jawatan ini lebih awal bagi memastikan apa yang betul untuk negara ini dan parti kita dilaksanakan.”

May bersetuju perjanjian dengan EU minggu lalu untuk menangguhkan Brexit kerana bimbang Britain akan berpotensi berdepan dengan bencana “tiada perjanjian” pada Jumaat.

Jika perjanjian itu diluluskan oleh ahli Parlimen minggu ini, Brexit akan berlaku pada 22 Mei – tetapi jika tidak, May perlu kembali ke Brussels sebelum 12 April untuk menjelaskan langkah seterusnya.

Parlimen Britain terpecah akibat Brexit, mencerminkan perpecahan dalam negara itu yang membawa undi 52% berbanding 48% pada 2016 untuk mengakhiri ikatan empat dekad dengan EU. – AFP, 28 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen