Putera William lawat mangsa serangan masjid Christchurch


Pewaris takhta Britain, Putera William akan melawat New Zealand bulan depan dan bertemu keluarga dan mangsa serangan tembakan di dua masjid di Christchurch. – Gambar fail EPA, 28 Mac, 2019.

PUTERA William akan melawat New Zealand bulan depan sebagai menghormati mangsa pembunuhan kejam dalam serangan tembakan di dua masjid di Christchurch yang menyebabkan 50 umat Islam terbunuh.

Perdana Menteri Jacinda Ardern yang akan menghadiri upacara memperingati mangsa pada Jumaat berkata William yang juga Duke of Cambridge akan mewakili nendanya Ratu Elizabeth II, ketua rasmi di negeri bekas jajahan British itu.

“Lawatan itu akan menjadi satu lagi tanda bahawa negara ini akan sentiasa berdiri bersama mereka yang terjejas akibat serangan keganasan, dan rakyat Christchurch,” kata Ardern dalam satu kenyataan.

Kerabat diraja itu sebelum ini menyuarakan simpati mereka selepas serangan tembakan di dua masjid di Christchurch awal bulan ini, perbuatan lelaki kulit putih warga Australia.

Istana Kensington berkata lawatan itu yang akan diadakan pada hujung April, dibuat atas permintaan Ardern.

Ardern berkata William mempunyai hubungan yang kuat dengan Christchurch dan wilayah Canterbury selepas lawatan bandar South Island ketika gempa bumi pada 2011 yang menyebabkan 185 terbunuh.

William mengadakan lawatan dua hari ke Christchurch susulan gempa bumi itu untuk menghadiri upacara keagamaan. Putera itu bersama isterinya Kate turut melawat bandar yang sama pada 2014.

Selepas serangan masjid itu, William, Kate, Putera Harry dan isterinya Meghan mengirimkan mesej yang diakhiri dengan “Kia kaha”, yang bermakna “bertabahlah” dalam bahasa Maori. – AFP, 28 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen