SAMBUTAN hangat terhadap Najib Razak sekarang tidak harus jadi petunjuk rakyat mahu beliau kembali memimpin sebagai perdana menteri, kata pemimpin Umno dan penganalisis politik.
Umno juga tidak boleh silap membaca kenyataan Najib ‘saya akan kembali’ sehingga hilang fokus daripada usaha memulihkan parti, sehingga terheret mencetuskan masalah dalaman parti.
Apa yang perlu Umno tumpu sekarang ialah menguatkan semula parti termasuk mengukuhkan kerjasama dengan PAS, kata Ahli Majlis Tertinggi Armand Azhar Abu Hanifah.
“Biar kita menang (pilihan raya) dahulu. Kita tidak meletakkan siapa bakal menjadi perdana menteri, kita lebih utamakan hubungan Umno dengan PAS diperkukuhkan.
“Ini agenda paling utama,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Selepas programnya bersama rakyat di Kuala Terengganu hujung minggu lalu, yang mendapat sambutan meriah sama seperti semua program lainnya bersama rakyat, Najib membuat kenyataan ‘saya akan kembali’, membayangkan beliau mahu berkhidmat semula.
“Kenyataan Najib itu diambil dari konteks yang salah,” kata Armand.

Jelas beliau, kenyataan ‘akan kembali’ itu lebih bermaksud Umno dan BN jadi kerajaan semula, bukannya Najib mahu jadi perdana menteri sekali lagi.
Katanya, siapa yang akan jadi perdana menteri nanti, biarlah parti yang tentukan.
Armand juga berharap Najib dapat membantu mengeratkan kerjasama Umno dengan PAS terutamanya di empat negeri yang ditadbir dua parti itu.
Dua parti itu kini sedang memperhalusi cadangan untuk membentuk kerajaan perpaduan di Kelantan dan Terengganu yang ditadbir oleh PAS, serta di Perlis dan Pahang yang diterajui Umno dan BN.
Minggu lalu, Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan membayangkan pelan kerjasama itu akan dibentangkan bulan depan oleh jawatankuasa rundingan yang diketuai bersama masing-masing seorang naib presiden Umno dan PAS.
“Sekarang ini kita hendak rapatkan hubungan di akar umbi. Di perangkat atasan kita lihat sudah ada persefahaman yang cantik,” tambah Armand menjelaskan peranan yang boleh Najib mainkan.
Sementara itu, Bendahari Umno Johor Md Jais Sarday berkata, kempen Najib bertemu rakyat bukan saja mencetuskan fenomena tetapi berkesan menjelaskan isu-isu rakyat.
“Saya sokong gerakan ‘Malu Apa, Bossku’ tetapi kita jangan anggap itu sokongan secara menyeluruh. Ada juga kumpulan tertentu yang masih dalam pemikiran mereka, Najib ini ada masalah lain,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Jais mengaku jelajah Najib bertemu rakyat membantu Umno menarik sokongan golongan yang kecewa dengan kerajaan.
“Tetapi ada juga sebahagian lain yang melihat Najib bermasalah dengan isu seperti 1MDB dan sebagainya,” tambahnya, sambil mengingatkan tuduhan itu belum dibuktikan di mahkamah.
Najib kini berdepan 42 pertuduhan di mahkamah melibatkan kes rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram.
Semalam, Mahkamah Persekutuan mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan minggu lalu membenar Najib menangguhkan perbicaraan kes pecah amanah dan salah guna kedudukan membabitkan bekas anak syarikat 1MDB, SRC International Sdn Bhd.
Peguam V Sithambaram yang menyertai pasukan pendakwaan memberitahu wartawan, pihaknya akan memohon Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk satu tarikh perbicaraan segera.
Tidak mustahil
Penganalisis politik Ahmad Atory Hussain bagaimanapun melihat tidak mustahil Najib kembali ke Putrajaya, sama seperti Dr Mahathir Mohamad yang diangkat jadi perdana menteri kali kedua.
Atory yakin sekiranya BN mengalahkan Pakatan Harapan dalam pilihan raya umum akan datang, Najiblah calon perdana menteri kerana sokongan rakyat terhadap beliau dan ketiadaan pemimpin yang mampu menandinginya dalam parti.
“‘I will be back!’ ini memang Najib mahu jadi perdana menteri semula. Kalau setakat jadi ahli parlimen tidak perlu sebut. Jadi perdana menteri baru dia boleh buat dasar-dasar (untuk rakyat).
“Dalam Barisan Nasional sekarang ini, siapa yang lebih layak daripada Najib? Tok Mat (Mohamad Hasan)? Ahmad Zahid Hamidi? Khairy Jamaluddin? Buat masa ini tiada,” tegasnya.
Atory melihat Najib muncul dengan pelbagai hujah membela rakyat ketika rakyat mula kecewa menunggu perubahan yang dijanjikan PH atau tidak lagi menikmati bantuan dan insentif kepada rakyat yang diperkenalkan pentadbiran sebelum ini.

“Majoriti rakyat sudah tidak melihat kes-kes Najib tetapi sebaliknya melihat Najib sebagai pembela mereka. Itulah politik,” katanya.
Dr Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya juga melihat Najib berjaya muncul sebagai suara yang mewakili rakyat, dengan watak kelas pekerja yang peka pada rakyat bawahan.
Bagaimanapun pensyarah politik dan budaya ini tidak yakin Najib akan kembali semula kerana beliau ada liabiliti politik dengan sekian banyak kes yang menunggu perbicaraan di mahkamah.
“Kredibiliti politik beliau tercalar walaupun sehingga hari ini belum lagi disabitkan oleh mana-mana mahkamah,” katanya. – 28 Mac, 2019.
Komen