PHEU Thai, parti yang dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri Thaksin Shinawatra yang digulingkan dan enam parti lain mendakwa mempunyai sekurang-kurangnya 255 kerusi untuk membentuk kerajaan Thailand yang baharu.
Calon Perdana Menteri Pheu Thai, Sudarat Keyuraphan berkata, enam parti lain yang menyertai gabungan itu ialah parti Future Forward, Seri Ruam Thai, Prachachart, Pheu Chart, Thai People Power dan New Economics.
“Bilangan (kerusi) belum muktamad tetapi kami mempunyai sekurang-kurangnya 225 kerusi daripada 500 kerusi di Dewan Rakyat, daripada parti yang mengumumkan pendirian mereka dengan jelas.
“Kami sedang berbincang dengan parti lain untuk menyertai kami. Hasrat kami sebagai parti gabungan prodemokrasi adalah untuk menghentikan pewarisan kuasa Majlis Perintah dan Keamanan Kebangsaan (NCPO). Kami terus teguh sejak hari pertama berkempen sehingga hari ini,” katanya pada sidang media hari ini.
Enam daripada tujuh pemimpin dan wakil parti hadir pada sidang media itu.
Ketua pemimpin parti New Economics, Mingkwan Sangsuwan tidak hadir pada sidang media itu tetapi Setiausaha Agung parti Pheu Thai, Phumtham Wechayachai berkata Mingkwan mengesahkan parti beliau akan menyertai gabungan itu pada Selasa malam.
Sementara itu, tujuh pemimpin itu turut menandatangani satu kenyataan untuk membentuk kerajaan campuran.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Thailand memuat naik keputusan tidak rasmi 350 kerusi pilihan raya dalam laman webnya pada Isnin.
Baki 150 lagi senarai wakil parti Dewan Rakyat itu masih belum jelas.
SPR berkata keputusan rasmi bagi 500 kerusi itu akan diumumkan paling awal 9 Mei.
Berdasarkan keputusan tidak rasmi bagi 350 kerusi pilihan raya, Pheu Thai mendahului 137 kerusi manakala parti protentera Palang Pracharat memenangi 97 kerusi, Bhumjaithai (39), Democrat (33), Future Forward Party (30), Chartthai Pattana (tujuh), Prachachart (enam) dan Ruam Palang Prachachart Thai (satu).
Pheu Thai mendakwa 255 kerusi yang dimenangi parti campuran itu termasuk senarai kerusi parti itu berdasarkan jumlah undi tidak rasmi pada Ahad.
Sementara itu, pemimpin parti Future Forward, Thanathorn Juangroongruangkit berkata, parti berkenaan menyertai Pheu Thai dan parti yang lain untuk menamatkan kuasa NCPO.
“Kami percaya ini adalah majoriti yang didambakan rakyat Thailand.
“Kami mempelawa parti lain yang tidak menyokong puak junta menyertai kami,” katanya.
Beliau menambah perdana menteri akan datang seharusnya daripada parti yang mempunyai paling banyak kerusi - Pheu Thai.
“Sudarat adalah calon perdana menteri paling sesuai,” katanya.
Sementara itu, ketua parti Prachachat, Wan Muhamad Nor Matha menggesa SPR Thailand supaya adil dan telus mengenai keputusan pilihan raya Ahad.
“Tidak ada alasan kukuh bagi SPR menangguhkan pengumuman keputusan pilihan raya itu,” katanya.
Sementara itu, Bangkok Post melaporkan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pertahanan Prawit Wongsuwon sebagai berkata, adalah terlalu awal bagi Pheu Thai dan sekutunya mengumumkan mengenai kerajaan campuran.
“Tunggu sehingga selepas 9 Mei. SPR telah menyatakan ia akan umumkan keputusan rasmi pada 9 Mei.
“Rancangan kami adalah kerajaan (baharu) akan ditubuhkan selepas majlis pertabalan (Raja Maha Rajiralongkorn dari 4 hingga 6 Mei),” katanya kepada pemberita di Rumah Kerajaan.
Timbalan Perdana Menteri Wissanu Krea-ngam pula berkata pengumuman Pheu Thai hanyalah ‘psikologi’ memandangkan keputusan rasmi pilihan raya masih belum diketahui.
“Keputusan bagi lima peratus undi itu adalah banyak dan beberapa anggota Parlimen mungkin dibatalkan kerana terdapat lebih 100 aduan yang perlu disiasat,” katanya. – Bernama, 27 Mac, 2019.
Komen