Menteri tak tidur malam fikir elaun nelayan, janji naik tahun depan


Diyana Ibrahim

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Salahuddin Ayub memberi jaminan memastikan elaun nelayan sebanyak RM200 sekarang akan dinaikkan tahun depan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Mac, 2019.

MENTERI Pertanian dan Industri Asas Tani Salahuddin Ayub memberi jaminan memastikan elaun bulanan nelayan sebanyak RM200 sekarang akan dinaikkan tahun depan.

Beliau mengakui kerajaan tidak dapat memberi elaun yang tinggi atau diparas RM300 seperti era pemerintahan Barisan Nasional kerana kekangan kewangan negara.

“Saya sampai tidak dapat tidur malam sebab hal ini. Saya beritahu dekat semua nelayan terima dulu, Insya-allah tahun hadapan kita tambah. Paling kurang pun RM300.

“Cara mana kerajaan nak bagi kita akan fikirkan, kerajaan ada banyak cara,” katanya ketika sesi penggulungan Titah di-Raja di Dewan Rakyat.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Tanjung Karang Noh Omar (BN) tentang tempoh kerajaan akan terus memberi elaun bulanan hanya RM200 kepada nelayan.

Sebelum ini kerajaan Pakatan Harapan dikritik hebat kerana memansuhkan pemberian elaun sekali bayar kepada nelayan. 

Tetapi, pemberian elaun bulanan yang bermula sejak 2008 masih diteruskan sebanyak RM200, kurang RM100 berbanding era pentadbiran BN. 

November lalu, Salahuddin turut dilaporkan berkata yang elaun sara hidup bulanan mungkin tidak diberikan dalam bentuk tunai sebaliknya melalui sistem kupon atau kad pintar.

Pada Januari lepas, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) mengumumkan hanya 40,000 nelayan layak menerima bantuan sara hidup selepas proses pemutihan terhadap senarai lebih kurang 57,000 penerima.

Elaun itu diperkenalkan bertujuan meringankan beban kos sara hidup nelayan. Ia diberikan kepada nelayan dengan syarat tertentu, termasuk berdaftar di bawah pejabat perikanan.  – 27 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen