India umum miliki keupayaan senjata anti satelit


Saintis India telah menembak jatuh sebuah satelit hidup di orbit bumi rendah (LEO) dengan sebuah senjata anti-satelit A-SAT di ruang angkasa pada jarak 300 kilometer. – Gambar AFP, 27 Mac, 2019.

PERDANA Menteri India Narendra Modi pada Rabu berkata negara itu telah memiliki keupayaan senjata anti-satelit, lapor agensi berita China Xinhua.

Modi mengumumkan bahawa saintis India telah menembak jatuh sebuah satelit hidup di orbit bumi rendah (LEO) dengan sebuah senjata anti-satelit A-SAT di ruang angkasa pada jarak 300 kilometer.

Perdana menteri India itu berkata latihan itu, yang dinamakan Mission Shakti, selesai dilakukan dalam tempoh tiga minit.

Modi berkata Mission Shakti merupakan satu langkah penting bagi keselamatan, pertumbuhan ekonomi dan kemajuan teknologi India.

Bagaimanapun, beliau tidak memberikan butiran lanjut mengenai misi itu.

Perdana menteri India itu berkata tindakan yang diambil India itu tidak dihalakan ke mana-mana negara.

Modi, pada Rabu, telah menulis dalam akaun Twitter bagi memaklumkan rakyat India bahawa beliau akan berucap pada pukul 11.45 pagi waktu tempatan, yang boleh diikuti melalui televisyen, radio dan media sosial.

Bagaimanapun, ucapan itu telah ditangguhkan atas sebab-sebab yang tidak diketahui dan bermula lebih satu jam setengah selepas masa yang ditetapkan.

Sementara itu, parti pembangkang menyelar pengumuman tersebut kerana ia kini di tengah-tengah kempen pilihan raya di negara tersebut. 

Pilihan raya umum India dijadualkan berlangsung bulan depan. – Bernama, 27 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen