KKM pertimbangkan kaji manfaat ganja perubatan, kata menteri


Diyana Ibrahim

Kementerian Kesihatan diberikan izin melakukan ujian dan untuk mengesahkan aplikasi dan kebekesanan dalam rawatan beberapa penyakit tertentu, kata Menteri Dr Dzulkefly Ahmad. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Mac, 2019.

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) boleh menjalankan kajian penggunaan marijuana perubatan dan sedang mempertimbangkan untuk berbuat demikian, kata Menteri Dr Dzulkefly Ahmad.

“Kementerian Kesihatan diberikan izin melakukan ujian dan untuk mengesahkan aplikasi dan kebekesanan dalam rawatan beberapa penyakit tertentu,” katanya semasa sesi pengulungan Titah di-Raja di Dewan Rakyat.

Bagaimanapun katanya, keizinan itu hanya melibatkan kajian bagi tujuan perubatan dan tidak membabitkan penanaman ganja.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Kuala Terengganu Ahmad Amzad Mohamed @ Hashim tentang penggunaan marijuana dalam perubatan.

Isu penggunaan marijuana atau ganja yang digariskan bawah Akta Dadah Merbahaya 1952 menjadi isu perdebatan pelbagai pihak.

Minggu lepas, Adun Jeram Mohd Shaid Rosli meminta kerajaan Selangor mempertimbangkan cadangan bagi melaksanakan penanaman ganja.

Shaid, wakil rakyat Bersatu itu berkata, Selangor berpontensi menjadi pengeluar terbesar ganja di seluruh dunia.

Tahun lalu, kes Muhammad Lukman yang dijatuhkan hukuman mati kerana memiliki ganja menjadi tular dan mendapat perhatian kerajaan.

Ahli Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar telah memfailkan surat rayuan rasmi kepada Pejabat Peguam Negara memohon membantu meringankan sabitan hukuman terhadap Lukman.

Perdana Menteri Dr Mahathir juga menggesa untuk menyemak semula kes Luqman itu. – 27 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen