PARLIMEN wajar memperkenalkan semula jawatan penggubal undang-undang Parlimen untuk memudahkan komunikasi antara wakil rakyat dan Speaker Dewan Rakyat Mohamad Ariff Yusof, kata Anwar Ibrahim.
Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus Parlimen yang diterajuinya akan merancang pembentangan usul untuk memperkenalkan semula jawatan tersebut.
“Perlu ada seorang penggubal undang-undang Parlimen supaya ada komunikasi terus dengan ahli Parlimen dan jawatankuasa.
“Kami mahu membangkitkan isu ini di Parlimen secepat mungkin. Mungkin pada sidang Parlimen akan datang,” katanya di Parlimen hari ini.
Difahamkan penggubal undang-undang Parlimen itu akan dipertanggungjawabkan merangka undang-undang yang buat masa sekarang dilakukan Jabatan Peguam Negara.
Pegawai terbabit tidak terlibat dalam perdebatan Dewan Rakyat bagi memastikan kefahaman mereka tentang isu itu terbatas.
Anwar berkata, jawatan itu wujud sebelum ini tetapi tempoh perkhidmatan mereka dibatalkan.
“Kami mahu kembalikan penggubal undang-undang Parlimen dengan format baharu.
“Kami perlu berurusan dengan Kabinet, Parlimen dan kemudian dapatkan penggubal undang-undang.
“Ini bagi memastikan penggubal undang-undang itu dapat berhubungan dengan Speaker dan ahli Parlimen.”
Anwar berkata ada cadangan untuk Akta Perkhidmatan Parlimen dan mereka akan bertemu Speaker esok.
“Kami akan berjumpa Speaker esok untuk tindakan lanjut.
“Kami dapati beberapa kementerian masih tak jelaskan (tentang isu tertentu) kepada jawatankuasa Parlimen.
“Tidak ada arahan jelas kepada pegawai untuk hadir mesyuarat (jawatankuasa).” – 27 Mac, 2019.
Komen