SEORANG pelajar diusir dari Universiti Yale selepas dia dikenali pasti terlibat dalam penipuan kemasukan ke institut itu.
Ibu bapa pelajar itu didapati membayar lebih sejutar dolar bagi memastikan anaknya memasuki universiti berprestij berkenaan.
Seramai 50 orang didakwa setakat ini dalam penipuan kemasukan anak golongan elit ke universiti terkemuka di Amerika Syarikat (AS).
Mereka termasuk jurulatih sukan yang menyediakan cadangan palsu, pentadbir universiti yang memanipulasi skor ujian dan 33 ibu bapa yang didapati membayar rasuah berjumlah kira-kira AS$6.5 juta.
Dalam satu kenyataan yang dimuat naik di laman webnya semalam, Yale berkata skim penipuan ini bermula pertengahan November lalu ketika Pejabat Peguam AS Boston meminta maklumat berkenaan pelatih bola sepak perempuan, Rudy Meredith.
Menurut pihak universiti, Meredith yang keluar dari Universiti Yale sebelum ini didatangi pihak berkuasa menyediakan cadangan olahraga palsu untuk ‘dua pemohon sahaja’.
Salah seorang daripadanya diterima masuk ke Universiti Yale pada Januari 2018 selepas ahli keluarganya membayar US$1.2 juta.
Jurulatih itu juga menerima AS$400,000 daripada pihak yang menguruskan skim itu walaupun tidak jelas sama ada keluarga pelajar ada menyumbang kepada jumlah itu.
Meredith dijangka hadir di mahkamah persekutuan di Boston esok bagi menghadapi dua pertuduhan menipu.
Jurulatih sukan dari kolej awam dan swasta yang lain termasuk UCLA, Universiti of Southern California dan Georgetown juga terlibat dalam skandal itu. – AFP, 27 Mac, 2019.
Komen