Putrajaya terus komited mansuh akta berita tak benar, kata timbalan menteri


Diyana Ibrahim

Kerajaan terus komited untuk memansuhkan akta itu kerana Malaysia sudah mempunyai undang-undang mencukupi bagi memantau penyebaran berita palsu, kata Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Mohamed Hanifa Maidin. – Gambar EPA, 27 Mac, 2019.

KERAJAAN tidak akan membatalkan hasrat untuk memansuhkan Akta Anti Berita Tidak Benar 2018, kata Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Mohamed Hanifa Maidin.

Beliau berkata kerajaan terus komited untuk memansuhkan akta itu kerana Malaysia sudah mempunyai undang-undang mencukupi bagi memantau penyebaran berita palsu.

“Sehingga hari ini kerajaan tidak buat apa- apa keputusan ‘pusingan U-turn’, kita tetap konsisten akan mansuhkan Akta Anti Berita Tidak Benar,” katanya dalam Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Ahli Parlimen Maran Ismail Abd Muttalib berhubung isu tersebut.

Hanifa turut mengambil kesempatan untuk menyindir pembangkang, berkata Barisan Nasional dan pembangkang yang akan banyak terima kesan sekiranya akta itu terus wujud.

“Kalau kita teruskan akta Anti Berita Tidak Benar, BN (Barisan Nasional) lah akan banyak kena.”

Tambahnya, tiada rakyat Malaysia yang disiasat atau didakwa di bawah akta tersebut atau Akta 803 sejak ia dikuatkuasakan pada 11 April 2018.

Timbalan menteri itu berkata lagi, walau akta tersebut dimansuhkan, ia tidak bermakna kerajaan akan mengamalkan bertolak ansur kepada penyebaran berita tidak benar termasuk penghinaan kepada Nabi Muhammad S.A.W, mana-mana agama atau institusi diraja.

“Secara teknikal, sehingga pemansuhan akta tersebut, dari segi perundangan Akta 803 masih boleh dikuatkuasakan, namun memandangkan kerajaan (PH) mendukung prinsip ‘rule of law’ jadi tiada mana-mana siasatan jauh sekali pendakwaan dilakukan ke atas mana-mana individu.

“Namun begitu, terdapat siasatan dan pendakwaan dilakukan terhadap pihak-pihak tertentu terhadap jenayah penghinaan ke atas Nabi Muhammad S.A.W, agama dan raja-raja sama ada di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan di bawah Kanun Keseksaan,” katanya.

12 September lalu, persidangan Dewan Negara menolak pemansuhan Akta Anti Berita Tidak Benar biarpun ia diluluskan dalam Dewan Rakyat pada Ogos. – 27 Mac, 2019.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen