TIDAK ada yang baharu dengan keputusan Ahli Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar untuk berundur daripada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) kerana beliau juga meletak jawatan daripada jawatan lain sebelum ini, kata Zuraida Kamaruddin.
Menteri perumahan dan kerajaan tempatan itu berkata Nurul sebelum ini sudah meletak jawatan sebagai naib presiden PKR, Jawatankuasa Khas Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan jawatan lain.
“Kami meraikan perbezaan pendapat (dalam PKR). Terpulang kepada presiden (Anwar Ibrahim) untuk menelitinya (peletakan jawatan Nurul) dan tindakan selanjutnya. Jadi, saya serahkan kepadanya,” katanya di lobi Parlimen hari ini.
Minggu lepas, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengumumkan wakil rakyat yang baharu masuk Bersatu, Ronald Kiandee akan terus kekal sebagai pengerusi PAC, tindakan yang melanggar janji manifesto pilihan raya PH.
Selepas pengumuman itu, Nurul meletak jawatan daripada PAC.
Bagaimanapun, Dr Mahathir berkata yang pengerusi baharu PAC daripada wakil pembangkang akan dipertimbangkan selepas Nurul meletak jawatan.
Zuraida turut menambah yang PAC sepatutnya memberikan nasihat bukannya mentadbir.
“PAC perlu bertemu menteri terlibat dan berbincang tentang isu (berkaitan),” katanya. – 27 Mac, 2019.
Komen