MALAYSIA bersetuju mengukuhkan hubungan dua hala untuk memerangi keganasan dengan kerajaan New Zealand, kata Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Katanya, beliau percaya hubungan dua hala kedua-dua negara akan terus kukuh dengan peluang untuk menguatkan dan meluaskan jaringan kerjasama.
“Saya sudah meluahkan rasa sedih kerajaan kita kepada Timbalan Perdana Menteri New Zealand Winston Peters dan rakyatnya, serta kepada keluarga mangsa serangan pengganas terbaru di Christchurch.
“Kerajaan Malaysia bersama-sama dengan kerajaan New Zealand dalam masa sukar ini,” katanya selepas perjumpaan dengan Peters di Parlimen hari ini.
Peters tiba hari ini untuk lawatan kerja dua hari di Malaysia.
Selepas serangan pengganas di dua buah masjid di Christchurch pada 15 Mac lalu, Malaysia dan New Zealand dijangka mengadakan perbincangan untuk mengukuhkan kerjasama dua hala bagi memerangi keganasan.
Dalam serangan itu, seorang remaja warga Malaysia antara yang terbunuh, manakala tiga lagi cedera dalam serangan yang membunuh 50 orang dan mencederakan 42 yang lain.
Peters juga berterima kasih kepada kerajaan Malaysia kerana sokongan yang diberikan.
Katanya, New Zealand juga terharu dengan sokongan tidak berbelah bahagi diberikan 57 anggota Organisasi Negara Islam (OIC).
“Malaysia bersama-sama kami dalam keadaan yang sangat sukar dan kami tersentuh dengan 50 organisasi sivil Islam yang melawat pesuruhjaya tinggi (New Zealand) di Kuala Lumpur untuk menyampaikan mesej solidari sejak serangan itu.” – 27 Mac, 2019.
Komen