PRESIDEN merangkap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Boeing, Dennis Muilenburg pada Selasa berkata syarikatnya “berasa rendah diri” dan “mendapat teladan” daripada insiden pesawat Ethiopian Airlines terhempas yang meragut 157 nyawa lebih dua minggu lalu, lapor agensi berita China Xinhua.
Dalam satu kenyataan disiarkan pada Selasa, Muilenburg berkata Boeing kini menggunakan semua sumber yang ada untuk bekerjasama “tanpa mengenal penat” dengan pihak Ethiopia bagi “memahami apa yang terjadi dan melakukan segala yang terdaya untuk memastikan perkara itu tidak berulang.”
Boeing membuat kenyataan itu sebagai respons kepada kenyataan CEO Ethiopian Airlines, Tewolde GebreMariam berkaitan nahas tragik penerbangan 302 syarikat tersebut pada awal bulan ini.
GebreMariam berkata meskipun nahas sedemikian berlaku, Ethiopian Airlines masih menaruh kepercayaan terhadap Boeing dan berjanji bekerjasama dengan pengeluar pesawat Amerika Syarikat (AS) terkemuka itu bagi memastikan perjalanan udara lebih selamat.
Beliau berkata Ethiopian Airlines, dengan sejarah lebih 70 tahun, adalah “perintis dan pemimpin” yang membawa Afrika ke era pesawat.
Boeing berada di bawah pengawasan ketat pengawal selia persekutuan AS sejak insiden pesawat jenis Boeing 737 MAX 8 terhempas berhampiran ibu kota Ethiopia, Addis Ababa, yang mengorbankan semua 157 penumpang dan kru pada awal Mac.
Ia adalah tragedi maut kedua membabitkan pesawat jenis 737 MAX dalam tempoh lebih lima bulan selepas pesawat Lion Air Penerbangan 610 Indonesia terhempas dan membunuh 189 orang pada Oktober tahun lepas.
Banyak negara dan syarikat penerbangan di seluruh negara merehatkan pesawat jenis 737 MAX selepas siasatan mendapati wujud persamaan antara kedua-dua nahas. – Bersama, 27 Mac, 2019.
Komen