CADANGAN mengurangkan bilangan penjawat awam hanya melibatkan jawatan yang belum diisi dan tidak membabitkan mereka yang masih dalam perkhidmatan, kata Timbalan Menteri Jabatan Perdana Menteri Dr Mohamed Farid Md Rafik.
Katanya, pada masa ini 6% daripada 1.7 juta jawatan yang kosong masih belum diisi manakala 94% tempat sudah diisi.
“Ini merupakan kadar konsisten dari tahun ke tahun. Daripada segi pengurangan kita lihat bagaimana jika jawatan yang tidak dapat diisi itu kita dapat optimumkan.
“Kita sebenarnya tidak menyentuh penjawat awam yang telah ada bersama kerajaan hari ini” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong) berhubung isu tersebut.
Shamsul dalam soalannya meminta kerajaan menyatakan apakah ada kajian yang dibuat untuk melihat kesan sosial dan ekonomi sekiranya kerajaan meneruskan cadangan pengecilan bilangan penjawat awam.
Farid berkata jumlah 1.7 juta penjawat awam merangkumi perkhidmatan awam Persekutuan, perkhidmatan awam negeri, badan berkanun negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT.
“Saiz penjawat awam terlalu besar dan meningkatkan perbelanjaan dan kerajaan berpendapat jumlah ini boleh dikurangkan tanpa jejaskan prestasi penyampaian perkhidmatan.”
Sebelum ini, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad membayangkan kerajaan mahu mengecilkan saiz penjawat awam namun mengakui ia isu yang sulit ditangani kerana sensitif. – 27 Mac, 2019.
Komen