Jangan korbankan lautan hanya untuk pertumbuhan ekonomi, kata PM


Looi Sue-Chern

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata sumber maritim tidak boleh dieksploitasi secara berlebihan untuk pertumbuhan ekonomi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Mac, 2019.

SUMBER maritim tidak boleh dieksploitasi secara berlebihan untuk pertumbuhan ekonomi, kata Dr Mahathir Mohamad.

Perdana menteri berkata sumbangan sektor maritim kepada ekonomi akan meningkat dengan ketara ketika Malaysia menuju menjadi negara membangun, tetapi perlu ada perlindungan untuk laut dan kehidupan marin demi generasi akan datang.

“Dalam kita mengejar untuk menjadi negara membangun, sumber semula jadi sedia ada kita perlu disatukan dan dioptimumkan,” katanya berucap pada pembukaan Persidangan Maritim Negara di Langkawi pagi tadi.

“Seperti dikehendaki oleh prinsip pembangunan mapan, yang kita pegang, tidak sepatutnya berlaku eksploitasi berlebihan terhadap sumber marin negara hanya untuk kepentingan pertumbuhan ekonomi.

“Garis panduan prinsip pembangunan mapan ialah pembangunan yang memenuhi keperluan semasa tanpa menjejaskan kemampuan generasi masa depan untuk memenuhi keperluan mereka.

“Maka, kita perlu sentiasa serius dalam aspek memelihara persekitaran marin,” katanya.

Beliau berkata ekosistem marin dan biodiversiti juga terancam akibat pemanasan global, selain isu makanan, air dan tenaga.

Dr Mahathir berkata untuk mengimbangkan antara pertumbuhan ekonomi dan mengekalkan kesihatan laut, perancangan dan pengurusan sempurna ruang maritim diperlukan.

“Sektor utama seperti perikanan, akuakultur, pelabuhan dan perkapalan, dan penerokaan minyak dan mineral, selain pembangunan tenaga laut, perlu dirancang dan diuruskan dengan sempurna,” katanya. – 27 Mac, 2019.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen