SEBUAH lukisan yang dicuri oleh Jerman daripada keluarga pengumpul hasil seni Adolphe Schloss ketika penjajahan Perancis pada Perang Dunia Kedua akan dipulangkan kepada warisnya di New York, kata konsulat Perancis dalam satu kenyataan hari ini.
Lukisan itu karya pelukis Belanda, Salomon Koninck pada 1639 bertajuk “A Scholar Sharpening His Quill”, adalah sebahagian daripada koleksi penting hasil kerja Flemish dan Belanda dimiliki oleh Schloss, seorang lelaki Yahudi yang menetap di Paris.
Pemulangannya pada 1 April diuruskan oleh agen FBI akan berlangsung di konsulat Perancis di bawah pemerhatian Menteri Luar Perancis Jean-Yves Le Drian dan wakil daripada masyarakat Yahudi.
Identiti waris Schloss masih tidak didedahkan.
Koleksi kira-kira 333 lukisan milik Schloss pada mulanya disimpan di selatan Perancis ketika Perang Dunia Kedua sebelum Nazi menemuinya dan merampas.
Sebahagian karya itu termasuk lukisan Koninck kemudian dihantar ke ibu pejabat Hitler di Munich.
Lukisan itu muncul semula pada November 2017 ketika pengedar lukisan Chile cuba menjualnya menerusi satu rumah lelong New York, menurut pendakwa raya Manhattan tahun lalu ketika memulakan prosedur rasmi untuk memulangkannya kepada waris Schloss.
Penjual itu menjelaskan kepada pihak berkuasa bahawa bapanya membeli karya itu pada 1952 dari Walter Andreas Hofer, individu yang bertanggungjawab membeli hasil seni daripada pemimpin Nazi Hermann Goring, dan pemain utama dalam pasaran barangan curi.
Jutaan barangan milik Yahudi dan lukisan di galeri seni dirampas di bawah penjajahan Nazi di Perancis ketika pendudukan Jerman. – AFP, 27 Mac, 2019.
Komen