SEPANJANG bulan ini, puluhan kawan-kawan sibuk menguruskan detik-detik akhir penerbitan buku. Apa tidaknya, 30 Mac hingga 7 April akan muncul Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL).
Berdasarkan respons, judul buku baharu tidak mungkin banyak. Sama ada terbitan gerila dan soljar indipenden (indie) mahu pun syarikat besar yang berkelas gergasi.
Sudah empat tahun industri buku merudum. Sudah lebih 40 penerbit indie yang aktif antara 2006 hingga 2014 kini terkubur. Semuanya terkesan dan gulung tikar kerana buku kini bukan lagi pilihan masyarakat. Lebih pedih, kerajaan sendiri pun nampak jelas mengabaikannya.
Penerbit gergasi pula lebih banyak menghitung hutang bank dan menguruskan secara perundangan satu demi satu tuntutan saman pencetak. Seminggu menjelang PBAKL, penerbit lebih banyak menanggung ketakutan implikasi muflis berbanding memikirkan strategi perniagaan.
Kesannya, banyak yang ambil jalan pintas. 70% hingga 90% penerbit memilih untuk menghabiskan buku dalam stor. Strategi mudah – lelong saja secara kombo dan pukal sepanjang 10 hari berjualan di PWTC.
PBAKL sejak tiga tahun lalu memang jelas kelihatan sebagai pesta melelong buku.
Malah, harga di Kwitang (pasar buku terpakai di Jakarta suatu masa dulu) rasanya lebih mahal berbanding harga lelongan di PBAKL.
Ironi yang amat menyedihkan kerana imej PBAKL berkelas antarabangsa. Namun, fungsinya sekadar Kwitang elit yang sifatnya sudah jadi pasar lelong lambakan buku.
Apa nak buat. Ini rantaian impak kemelesetan ekonomi. Penerbit tiada modal kerana sejak empat tahun lalu, buku sukar dijual. Penerbit menanggung beban buku yang dicetak serta hutang kos penerbitan.
Dalam kes penerbit indie, semangat setia kawan masih membantu. Penulis menyerahkan karya tanpa banyak prasangka. Asal kawan-kawan penerbit ada judul baharu. Soal royalti bukan perkara utama. Solidariti indie memang fenomena.
Bagi penerbit besar yang menumpukan 20 ke 50 judul terbitan setahun, memang tidak tidur malam. Apa tidaknya, sejak tiga atau empat tahun menanggung kerugian kerana buku tidak terjual.
Beban hutang bank dan saman mahkamah syarikat pencetak kini menghantui pemain industri buku. Sekali gus meragut semangat untuk menerbitkan judul baharu.
“Kalau ada penerbit indie berani terbit lebih 10 judul, itu sudah kira berani,” kata Azlan Sinaganaga, bos Studio Anai-anai.
Azlan dianggap jeneral indie, komuniti penerbit buku yang mencanak tumbuh bersama trend solidariti anak muda pada alaf baharu.
Pada 2006, gerakan indie menyeberang masuk ke Kuala Lumpur dari kota London dan mencetuskan kebangkitan baharu dalam industri buku. Namun, sedekad kemudian, semuanya jahanam!
“Orang sekarang takut nak beli buku. Harga RM20 ke RM30 sebuah, dikira mahal. Dengan harga ini, buku jadi satu beban kepada keluarga B40. Ini era kos sara hidup sangat menekan,” katanya ketika ditemui di Studio Anai-anai.
Sinikal yang lebih teruk daripada kenyataan Azlan ialah realiti Perpustakaan Nasional Malaysia (PNM) sendiri. Institusi yang dianggap simbol perbukuan negara, kini masuk senarai jatuh miskin.
Walaupun namanya megah dan bangunannya mewah, PNM kini menjadi institusi B40 – setaraf keluarga miskin di flat PPR sekitar ibu kota.
PNM pernah berbelanja RM40 juta setahun untuk membeli buku sebelum datangnya bencana pemotongan peruntukan kerajaan.
Setelah jatuh ke kategori B40, PNM hanya berbelanja RM5 juta pada 2015. Lebih menyedihkan, pada 2016 dan 2017, institusi yang kini sudah diperli sebagai sedang jatuh papa kedana, hanya mampu berbelanja RM2 juta setahun membeli buku.
Industri buku menuju mati?
Kalau ikut status klinikal, industri perbukuan kita kini sedang berada di unit jagaan rapi (ICU). Nazak dan menunggu mati. Cuma, anehnya – sekalipun sudah hampir mati, kerajaan tetap tidak peduli.
Menteri yang bertanggung jawab pun, yang selalu jual lidah cari populariti dengan kata kunci atau ayat pikat “intelektual”, memilih untuk senyap saja.
Dalam kes buku yang memerlukan tindakan bijak kerajaan, menteri ini memilih untuk tidak melakukan apa-apa. Jadi, jangan banyak berharap kepada sikap kerajaan.
Dalam isu buku, banyak yang dilihat bersikap poyo, berbanding bekerja keras menyelamatkan industri yang sebenarnya ialah kunci tamadun intelektual.
Ketika ini, kerajaan lebih sibuk menjaja kata kunci “intelektual” dan masyarakat kelas pertama. Anggaplah itu hanya “ayat pikat” untuk survival politik semata-mata.
Bagi penerbit buku, elok abaikan saja kewujudannya. Kalau rasa nak bankrap, tidak ada salah PBAKL jadi pesta lelongan saja. Ada masa maruah intelek akan berakhir di tahap harga getah skrap atau timbunan besi buruk saja.
PBAKL 2019 ialah perang terakhir penerbit buku sebelum datang 1 April, 2020. Tarikh keramat mengisytiharkan Kuala Lumpur sebagai Kota Buku Dunia Unesco.
Sekali lagi ironi – kita takut industri buku sudah lebih dulu kiamat, sebelum sempat datangnya tarikh keramat bandar raya Kuala Lumpur dimartabatkan Kota Buku Dunia ke-20.
Tanyalah lebih 40 penerbit indie mengenai KL Kota Buku Dunia 2020. Sah, mereka haram tidak mempedulikannya. Satu tanda jelas, promosi dan peta menuju ke arah pengisytiharan itu pun masih terkapai-kapai. Sedangkan, masa makin suntuk.
“Insya-Allah… tahun depan skim baucar buku akan dikembalikan. Industri akan pulih: Phuiii!”
Itu reaksi rakan-rakan dunia buku yang sudah jeran mendengar janji demi janji.
PBAKL sekarang pun wujud dengan nawaitunya yang mencurigakan. Barangkali kerana penganjur yakin masih boleh menjual lot bazar dan reruai. Malah, harga sewaan tahun ini pun sah sudah dinaikkan.
Penganjur tahu, penerbit buku sedang nazak dan sangat mengharapkan PBAKL sebagai lokasi untuk melelong stok buku yang bertimbun bak gunung.
Sangat ironi. Industri buku sedang merudum tetapi tahun ini harga reruai terus dinaikkan. Tiada simpati soal harga walaupun ketika ini penerbit buku sedang dirawat ICU. Itulah cantiknya industri perbukuan di Malaysia.
Pada 2016, industri buku tempatan menerbitkan 19,592 judul buku. Angka itu merudum pada 17,213 buku pada 2017. Data 2018 belum diumumkan. Tetapi berdasarkan trend semasa, bukan kejutan kalau jumlahnya menjunam sekitar 15,000 judul.
Kalau ikut standard Unesco, dengan 32 juta populasi, nisbah 1% ialah 32 ribu judul.
PBAKL kali ini menjadi indeks terakhir untuk mengukur keseriusan menjadikan KL Kota Buku Dunia Unesco 2020.
Kalau PBAKL suram dan jahanam hasilnya, dan syarikat-syarikat penerbitan mencapai jualan sekadar membayar sewa reruai, elok ucapkan sayonara pada industri buku.
Kepada Pak Menteri yang sepatutnya prihatin pada soal buku dan sejajar dengan kegilaannya menuturkan kata kunci intelektual itu, ini kata saya sendiri: “Kambing, kalau sembang pun boleh terbang!”
Kepada rakan-rakan indie, yang bersengkang mata dan menggadai segala saki-baki modal yang ada untuk PBAKL minggu ini, saya doakan: “Moga Allah merahmati dan murahkan rezeki kepada anda semua!”
Kalau hendak harapkan kerajaan, harapkan saja kata-kata intelektual yang dijaja. Anggap saja itu jajan umpan pikat budak-budak di tepi jalan! – 27 Mac, 2019.
* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen