Najib perlu perangi keganasan di negara sendiri dahulu, kata Nurul Izzah


Diyana Ibrahim

Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar berkata Najib sepatutnya memerangi keganasan di negara sendiri dahulu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 September, 2017.

NAIB Presiden PKR Nurul Izzah Anwar mempersoalkan bagaimana Malaysia mahu menjadi rakan kerjasama menentang anti keganasan bersama Amerika Syarikat walhal kerajaan Barisan Nasional (BN) telah banyak mencetuskan ketegangan antara kaum dan agama menerusi sentimen politiknya.

Nurul Izzah mengkritik lawatan Perdana Menteri Najib Razak ke Amerika Syarikat, mengatakan yang Najib sepatutnya memerangi masalah keganasan di negara sendiri.

“Anda kena faham mengalakkan ekstremis bedasarkan kaum dan agama serta politik tidak membantu sesiapa pun. Dan juga akan bertentangan dengan usaha menangani keganasan di negara sendiri.

“Dan saya tidak melihat Najib melakukan perkara itu juga. Saya lihat Najib lebih banyak mencetuskan sentimen perkauman dan agama di negara sendiri dan ini sama sekali tidak selari dengan usaha untuk menangani keganasan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya hari ini.

Najib dan isteri berada di Washington DC untuk lawatan kerja tiga hari yang bertumpu kepada pertemuan bersama Presiden Donald Trump yang dijadualkan berlangsung di White House hari ini.

Beliau sebelum ini berkata antara isu yang dibangkitkan dalam pertemuan ialah mencegah anti keganasan oleh puak ektremis agama.

Pada Jun lalu, semasa meraikan ulang tahun ke-20 Umno Bahagian Cheras, Najib mengatakan ahli Umno perlu mencontohi “keberanian pihak militan IS” demi mempertahankan BN supaya terus dapat menjadi kerajaan memerintah.

Nurul Izzah juga berharap lawatan Najib ke Amerika Syarikat tidak menjejaskan siasatan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) ke atas 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Kita jangkakan siasatan DoJ akan dikekalkan, maksud saya ia sepatutnya merupakan badan bebas jadi perlu dibebaskan dan tidak dipengaruhi dengan mana- mana lawatan rasmi”. – 12 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen