PESAWAT Boeing 737 MAX yang dikendalikan oleh Southwest Airlines membuat pendaratan kecemasan pada Selasa selepas mengalami masalah enjin ketika dalam perjalanan dari Florida ke California, kata Agensi Penerbangan Persekutuan AS (FAA).
“Pesawat itu berpatah balik dan mendarat dengan selamat di Orlando,” kata FAA dalam satu kenyataan, sambil menambah tiada penumpang berada di dalam pesawat itu, yang dipindahkan ke Victorville, California untuk disimpan.
“FAA sedang menyiasat,” tambah agensi itu, yang menggantung Boeing 737 MAX pada 13 Mac susulan dua kemalangan maut melibatkan Ethiopian Airlines dan Lion Air tetapi terus membenarkan pesawat itu dipindahkan dari lapangan terbang ke lapangan terbang.
Southwest berkata pesawat itu mengalami masalah enjin “sejurus selepas berlepas.”
“Krew mengikuti protokol dan selamat mendarat di lapangan terbang” kira-kira jam 3 petang (1900 GMT), kata jurucakap Chris Mainz.
“Boeing 737 MAX 8 akan dipindahkan ke kemudahan penyelenggaraan Orlando untuk pemeriksaan.”
Ia adalah insiden terbaru melibatkan Boeing selepas kemalangan pesawat milik Lion Air pada Oktober dan Ethiopian Airlines awal bulan ini, yang mengorbankan 346 nyawa.
Kemalangan yang mempunyai persamaan, menyebabkan pihak berkuasa di seluruh dunia menggantung operasi pesawat itu. – AFP, 27 Mac, 2019.
Komen