SELAIN meminda Perlembagaan persekutuan untuk memulihkan status Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi setara dalam persekutuan Malaysia, terdapat butiran halus yang belum dapat dibayangkan oleh sesiapa lagi.
Ahli Parlimen dari kedua-dua negeri menyambut baik hasrat Putrajaya meminda Perkara 1 (2) untuk mengiktiraf mereka sebagai entiti yang sama dan berdaulat kepada Tanah Melayu kerana ini akan memberinya lebih banyak pendapatan dan autonomi berhubung hal ehwal masing-masing.
Tetapi Ahli Parlimen Bandar Kuching Dr Kelvin Yii berkata kedua-dua negeri juga perlu berhati-hati terhadap masalah yang mungkin timbul, sekiranya memperoleh status setara itu hanya memberi manfaat kepada kepada pihak tertentu.
Walaupun pendapatan lebih banyak akan membantu Sarawak membangun dengan lebih cepat, Yii memberi amaran terhadap aliran wang masuk tanpa pemeriksaan dan imbangan sewajarnya.
Beliau berkata masalah tadbir urus perlu diperbaiki atau wang itu boleh jatuh kepada segolongan elit.
“Kerajaan negeri perlu berkongsi tanggungjawab yang sama untuk membangunkan Sarawak. Pada masa ini, ia hanya menyerahkan segala masalah kepada kerajaan persekutuan,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Pendapatan dan pembangunan
Masalah utama Sabah dan Sarawak, kata Yii, adalah pembangunan yang tidak saksama.
“Sarawak adalah penyumbang ketiga terbesar KDNK untuk Malaysia tetapi masih mempunyai bilangan orang miskin tegar tertinggi.
“Perubahan status akan memberikan kita hak menentukan semula bahagian hasil dari minyak dan sumber mineral lain,” kata ahli Parlimen DAP itu.
Ahli Parlimen Putatan Awang Husaini Sahari berkata, Sabah dinafikan bahagian pendapatan cukai yang dikutip dari negeri ini.
“Cukai dari Sabah perlu dikembalikan kepada kerajaan Sabah,” kata ahli Parlimen PKR itu.
Satu daripada keluhan penduduk Sabah ialah mereka berterusan menerima hanya RM26.7 juta setiap tahun berdasarkan jumlah yang dipersetujui pada 1963, walaupun Perkara 112 Perlembagaan Persekutuan menyediakan semakan semula setiap lima tahun.
Perlembagaan juga menyatakan Sabah berhak mendapat 40% daripada hasil cukai yang dikutip dari negeri ini.
Satu lagi masalah kedua-dua negri adalah mengenai bahagian 5% hasil minyak dan gas bagi mineral yang terdapat di dalam sempadan mereka.
Dalam pilihan raya lepas, Pakatan Harapan (PH) berjanji untuk menaikkan bahagian kepada 20%.
Desentralisasi dari Putrajaya
Walaupun hasil minyak dan gas yang lebih besar adalah penting, Ahli Parlimen Puncak Borneo Willie Mongin berpendapat kawalan Sarawak terhadap hal ehwalnya sendiri - seperti agama - terhakis dari masa ke masa.

“Kami tidak mempunyai isu mengenai Islam sebagai agama rasmi persekutuan, tetapi apabila ia menyatakan, Sarawak adalah negeri sekular,” kata ahli politik PKR itu.
Willie dan Awang merasakan aspek lain yang hilang selama ini adalah “Dasar Borneonisasi”, istilah yang digunakan untuk menggambarkan penduduk Sabah dan Sarawak sebagai ketua agensi perkhidmatan awam bagi negeri.
“Ini adalah sebahagian daripada perjanjian kami semasa pembentukan Malaysia, dan mesti dihormati,” kata kedua-duanya.
Bagaimanapun, Yii memberi amaran agar tidak bergerak terlalu cepat terhadap perkara autonomi.
Doktor perubatan itu berkata walaupun benar banyak keputusan mengenai Sarawak dibuat di Putrajaya, kerajaan tidak boleh “terlalu nasionalis”.
“Terdapat gerakan, meminta doktor kembali ke Semenanjung Malaysia. Tetapi dengan 56% doktor di sini datang dari Semenanjung, penjagaan kesihatan Sarawak akan terjejas jika semuanya dihantar pulang.
“Ramai rakyat Malaysia dar Semenanjung mendedikasikan kehidupan mereka untuk membantu Sarawak, dan tidak sepatutnya diketepikan kerana sentimen nasionalis.
“Pada masa sama, dalam bidang seperti pendidikan, misalnya, ia lebih masuk akal bagi negeri untuk menentukan di mana hendak menghantar guru kerana ia tahu keperluan tempatan lebih baik berbanding Putrajaya.” – 27 Mac, 2019.
Berita penuh di sini
Komen