JAWATANKUASA Kira-Kira Wang Negara mengesahkan memanggil bekas Menteri Pengangkutan, Liow Tiong Lai untuk menghadiri prosiding Permit Kemasukan Kenderaan (VEP) antara Johor dan Singapura yang diberi dan dilaksanakan pada 2015.
Timbalan Pengerusi PAC, Wong Kah Who memberitahu The Malaysian Insight bahwa mereka sudah meminta Liow menghadiri prosiding di Parlimen pada jam 2.30 petang esok.
“Mengikut peraturan mesyuarat, kami menghantar surat kepadanya 10 hari lalu.
“Liow mengesahkan akan hadir dan tidak menjadi masalah buatnya,” katanya di lobi Parlimen hari ini.
Liow mendakwa PAC mempunyai agenda politik untuk mencemarkan nama baiknya dengan membuat kenyataan yang menghubungkan dengan VEP tetapi tidak memanggilnya untuk menjelaskan perkara itu.
Ini menurut Laporan Ketua Audit Negara 2017 (siri kedua) dan persoalan tentang pelaksanaan sistem RM149.45 juta yang bukan sahaja menyaksikan kenaikan mendadak dalam operasi tetapi juga diberikan melalui rundingan terus dan tidak terbuka.
Bekas perdana menteri, Najib Razak dikatakan sudah diberi jaminan oleh Liow bahawa kontraktor itu mampu dan mempunyai kepakaran diperlukan.
Bagaimanapun kemudian dimaklumkan bahawa kontraktor itu tidak mempunyai pengalaman di lapangan.
Kontraktor juga didapati hanya mempunyai RM35.54 di dalam akaunnya dan bukan RM2.3 juta yang diperlukan.
Difahamkan TCSens dikaitkan dengan bekas timbalan setiausaha agung MCA dan bekas Ahli Parlimen Tanjung Piai, Wee Jeck Seng.
Liow adalah bekas presiden MCA.
Projek itu melibatkan dua kontrak – Kontrak Perbelanjaan Modal (Capex) bernilai RM45.15 juta dan Kontrak Perbelanjaan Operasi (Opex) bernilai RM104.3 juta.
TCSens juga subkontrak Opex kepada pihak ketiga walaupun tidak dibenarkan berbuat demikian.
Penyelewengan lain termasuk peralatan bernilai RM4.07 juta seperti pintu penghalang, kamera dan pembaca pembetulan yang tidak dipasang. – 26 Mac, 2019.
Komen