PEMANGKU Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS) Patrick Shanahan pada lewat Isnin telah meluluskan sehingga AS$1 bilion bagi pembinaan sebahagian tembok di sepanjang sempadan AS-Mexico, lapor agensi berita Turki Anadolu.
Shanahan memberi kuasa kepada komander Kor Jurutera Tentera Darat AS untuk mula merancang dan melaksanakan projek itu sehingga US$1 bilion bagi membantu Jabatan Keselamatan Dalam Negeri serta Kastam dan Pengawal Sempadan, menurut Pentagon dalam satu kenyataan.
Pentagon berkata dana itu akan digunakan untuk membina pagar pejalan kaki sepanjang 92 kilometer dengan ketinggian 5.5 meter, membina serta memperbaiki jalan raya selain memasang lampu dalam sektor Yuma El Paso di sempadan.
Langkah itu bertujuan menyokong perisytiharan perintah darurat kebangsaan pada 15 Feb di selatan sempadan AS, katanya.
Presiden Donald Trump mengusulkan pembinaan tembok sempadan yang dijanjikannya sejak sekian lama menerusi satu perintah eksekutif bulan lalu selepas beliau gagal mendapatkan peruntukan sebanyak US$5.7 bilion daripada Kongres untuk membina penghadang itu, setelah berlaku penutupan kongres yang paling lama dalam sejarah AS susulan desakannya.
Golongan yang menentang perintah eksekutif Trump telah memberi amaran bahawa langkah itu akan mewujudkan satu duluan yang berbahaya dan melanggar Perlembagaan dalam isu pengagihan kuasa berkaitan pembiayaan kepada cabang legislatif.
Senator Chuck Schumer, anggota Senat terkemuka daripada Parti Demokrat, menyelar tindakan Trump dalam satu kenyataan dan menyifatkan perkara tersebut sebagai sesuatu yang “tidak mengejutkan kerana presiden itu tidak begitu menghormati kedaulatan undang-undang dan perlembagaan kita.” – Bernama, 26 Mac, 2019.
Komen