UTUSAN khas Amerika Syarikat ke Korea Utara mengadakan lawatan ke Beijing bagi menyelaraskan dasar dengan China, kata pegawainya pada hari Selasa sebulan selepas gagal melaksanakan sidang kemuncak denuklearisasi.
Stephen Biegun, yang merupakan utusan ke Korea Utara, berada di Beijing bagi “meneruskan pelarasan hubungan AS-China berkenaan dasar yang berkaitan dengan Korea Utara”, kata jurucakap kedutaan AS kepada AFP, namun menolak untuk berkongsi lebih banyak maklumat.
Jurucakap Kementerian Luar Negara China, Geng Shuang berkata dalam taklimat rutin bahawa Beijing “sentiasa mengekalkan komunikasi dan koordinasi yang rapat dengan pihak-pihak yang berkaitan mengenai hal ehwal umum Semenanjung Korea.”
Lawatan Biegun ke ibu negara China itu serentak dengan ketibaan pegawai tinggi Korea Utara, yang disambut oleh pegawai kerajaan China dan utusan Pyongyang ke Beijing pada hari yang sama, lapor agensi berita Yonhap Korea Selatan.
Yonhap, yang mengutip sumber-sumber diplomatik, berkata pegawai tersebut dipercayai adalah Ri Su Yong, naib pengerusi Parti Pekerja yang merupakan parti pemerintah Korea Utara, yang dilaporkan singgah seketika di Beijing dalam perjalanannya ke Laos.
Geng berkata beliau tidak mempunyai maklumat mengenai persinggahan Ri Su Yong tersebut.
Tidak jelas sama ada lawatan pegawai AS dan Korea Utara tersebut memang telah dirancang lebih awal.
Lawatan Biegun dilakukan selepas Presiden AS Donald Trump secara tiba-tiba membatalkan sidang kemuncak yang dijadualkan pada 27-28 Februari di Vietnam bersama pemimpin Korea Utara Kim Jong Un bagi menyelesaikan isu-isu berkaitan program senjata nuklear Pyongyang. – AFP, 26 Mac, 2019.
Komen