Terima ancaman bom, dewan bandaraya Jerman dievakuasi


Jerman sering menyaksikan kejadian ganas yang dilakukan pelampau ekstremis. – EPA pic, 26 Mac, 2019.

BEBERAPA bangunan dewan bandaraya di Jerman dievakuasi pada hari Selasa selepas menerima emel ancaman serangan bom, kata polis.

Polis mengesahkan bahawa dewan bandaraya di Augsburg, Kaiserslautern, Goettingen, Neunkirchen dan Rendsburg antara yang terjejas dengan ancaman tersebut.

Pihak berkuasa telah memeriksa kawasan di sekitar bangunan berkenaan bagi mencari barang yang mencurigakan, namun setakat ini belum ada penemuan penting ditemui.

Pengirim ancaman tersebut dilaporkan masih belum dikenal pasti.

Evakuasi itu juga memberi kesan kepada beberapa bahagian trafik, termasuk di kawasan Goettingen di mana pengangkutan awam dialihkan di kawasan sekitar.

Begitu juga di Augsburg, beberapa perkhidmatan trem dan bas turut dihentikan.

Ketakutan yang dialami warga negara itu muncul selepas lebih daripada 100 e-mel yang mengancam serangan telah dihantar oleh penyokong golongan kanan kepada peguam, ahli politik, wartawan dan juga bintang pop.

Beberapa e-mel tersebut mengandungi ancaman bom dan ancaman bunuh lain, atau membayangkan pengirim memiliki senjata api dan senjata biologi, lapor media Jerman.

Polis mengesahkan bahawa mereka sedang menyiasat ancaman tersebut. – AFP, 26 Mac, 2019.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen