Rakyat menang PRU14, sekarang berkhidmatlah untuk rakyat


Jahabar Sadiq

Pemimpin Pakatan Harapan perlu mula melaksanakan janji pilihan raya mereka dan bukan menentang di antara satu sama lain. - Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Mac, 2019.

KERAJAAN baharu ini sudah dibentuk sejak lebih 10 bulan lalu dan dalam tempoh itu juga, kita menyaksikan bagaimana pemimpin Pakatan Harapan (PH) bercakaran sesama sendiri, mengkritik atau mempertahankan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Tiada siapa patut mempertahankan beliau. Dr Mahathir jadi perdana menteri dua kali, menang semua pilihan raya dengan majoriti dua pertiga kecuali yang terakhir, apabila menang dengan majoriti mudah mengalahkan bekas musuh politiknya.

Tetapi sekarang kita menyaksikan pertelagahan di media sosial dengan pemimpin dalam kerajaan saling sindir-menyindir kenyataan Ahli Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar tentang pengalaman bekerja dengan Dr Mahathir selepas bertahun-tahun menentang beliau dan kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk membebaskan bapanya, Anwar Ibrahim.

Beliau berhak mengeluarkan pendapatnya. Apatah lagi, lebih setahun yang lalu beliau setuju bekerjasama dengan Dr Mahathir untuk menjatuhkan kerajaan BN.

Beliau setuju Dr Mahathir akan jadi perdana menteri sekiranya mereka menang.

Nurul Izzah boleh menukar fikirannya sama seperti kita boleh juga menukar pandangan tentang beliau.

Namun hakikatnya, kerajaan baharu ini bukan semata-mata tentang Dr Mahathir atau Nurul Izzah.

Dr Mahathir ada tugas berat membentuk sebuah kerajaan baharu untuk membersihkan tinggalan kerajaan Najib Razak.

Dr Mahathir perlu berdepan dengan legasi lampaunya dan mengetuai kelompok yang lebih selesa mengkritik dan menulis di Twitter berbanding melaksanakan kerja.

Nurul Izzah juga ada tugas berat sebagai wakil rakyat untuk penggal yang ketiga tetapi sekarang sebagai kerajaan.

Sekurang-kurangnya itulah yang kita harapkan dari beliau – berbahas dan menggubal undang-undang untuk manfaat rakyat Malaysia, setidak-tidaknya mereka di kawasannya.

Lebih daripada itu adalah bonus, selepas 20 tahun beliau berjuang membebaskan bapanya.

Sebaliknya, apa yang kita dapat ialah beberapa pemimpin PH yang hanya menunjukkan kebebasan mereka bersuara dan bukannya berkhidmat untuk rakyat.

Kita mesti ingat ini: PH tidak menang PRU14. Yang menang ialah rakyat. Mereka menyingkirkan BN dan memilih PH sebagai kerajaan.

Perubahan 9 Mei tidak berlaku sekiranya rakyat tidak memaafkan Dr Mahathir atas kesilapan masa lalunya atau mengetepikan rasa curiga mereka terhadap semua ahli politik yang bertanding di bawah bendera PKR.

Rakyat mengubah kerajaan kerana mereka menyampah dengan BN, kerana mereka merasakan pemimpin PH boleh melaksanakan janji-janji mereka.

Tetapi tempoh berbulan-bulan selepas 9 Mei tampaknya lebih mengecewakan. Ingat, ini bukan soal pemimpin PH bagus atau Najib Razak tidak.

Sekarang ini, laksanakanlah tanggungjawab. Buat kerja.

Anda tidak perlu bertelagah atau memperlekehkan wakil rakyat lain. Ada 32 juta rakyat Malaysia yang perlu diberi khidmat, maka gunakanlah masa dan tenaga yang ada untuk mereka.

Dr Mahathir akan berterima kasih kepada anda dan begitu juga kami semua.

* Jahabar Sadiq runs The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen