Pemerkasaan wanita harus termasuk dalam keseimbangan kerja, kata Wan Azizah


Ragananthini Vethasalam

Timbalan Perdana Menteri, Wan Azizah Wan Ismail berkata, pemerkasaan wanita harus mengambil kira aspek keseimbangan kerja kerana golongan ini mempunyai banyak peranan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 26 Mac, 2019

PEMERKASAAN wanita harus mengambil kira aspek keseimbangan kerja kerana golongan ini mempunyai banyak peranan, kata Timbalan Perdana Menteri, Wan Azizah Wan Ismail.

Bercakap pada Seminar Gift of Love Women Empowerment 2019 hari ini, Wan Azizah berkata, wanita mempunyai tanggungjawab besar untuk memenuhi peranan sebagai isteri, ibu dan anak perempuan.

“Naluri ibu sangat kuat dalam diri kita semua. Ini menunjukkan banyak wanita boleh buat dan mereka harus diberi kuasa.

“Pemerkasaan harus termasuk dalam keseimbangan kerja,” katanya.

Tambahnya, golongan wanita mahu mencapai perkembangan kerjaya tetapi mereka juga mahu memainkan peranan sebagai isteri, ibu dan anak.

“Lelaki mempunyai tanggungjawab tersendiri sebagai bapa tetapi wanita mempunyai tanggungjawab lebih kuat dalam memelihara keluarga dan turut menyumbang kepada masyarakat serta negara,” katanya.

Dalam ucaptama beliau berkata, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat juga menyerus badan bukan kerajaan (NGO) dan korporat untuk bekerjasama dalam memperkasakan pembangunan wanita terutamanya suri rumah, ibu tunggal dan golongan wanita kumpulan B40.

Wan Azizah berkata, Jabatan Pembangunan Wanita sedang melancarkan aktiviti dan program bagi memperkasakan ekonomi wanita.

Ia termasuk Program Aktiviti Pembangunan Ekonomi (PACBE) yang menyediakan platform latihan dan program pembangunan kemahiran untuk wanita berpendapatan rendah dan ibu tunggal yang ingin memulakan perniagaan serta meningkatkan mata pencarian mereka.  

PACBE juga akan membantu wanita dengan latihan e-dagang dan mengembangkan kemahiran diperlukan untuk Revolusi Industri 4.0.  

Ia juga termasuk klinik kemurungan, klinik perundingan undang-undang dan program kesedaran keganasan terhadap wanita.  

Kementerian menyasarkan 10,000 peserta tahun ini.  

Bercakap tentang keganasan terhadap wanita Wan Azizah berkata, perlu ada langkah pencegahan bagi mengelak jenayah terhadap golongan ini.  

Seminar The Gift of Love merupakan program anjuran Gabungan Pertubuhan Wanita Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCWO). – 26 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen