Nurul Izzah pertahan kenyataan gelar Dr M diktator


Noel Achariam

Nurul Izzah Anwar dan Dr Mahathir Mohamad dalam sebuah forum bersama. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Mac, 2019.

NAIB Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar tetap mempertahankan kenyataan beliau yang menggelar Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sebagai diktator, dengan mengatakan bahawa ia bukan satu perkara besar kerana gelaran itu sering disebut beliau dalam banyak kenyataannya.

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu mempertahankan kenyataannya kerana menurut beliau ia berdasarkan fakta pengetahuannya.

“Ia adalah fakta dari rekod saya, saya sebut hal ini sebelum pilihan raya, saya sebut sewaktu demonstrasi Bersih 3.0 dan Bersih 4.0

“Saya tidak faham mengapa mengatakannya dalam forum yang berbeza (dalam temu bual dengan Straits Times) yang mengandungi mesej yang sama akan jadi masalah,” katanya di lobi Parlimen hari ini.

Nurul Izzah menyifatkan Dr Mahathir sebagai bekas diktator kerana pemimpin utama Pakatan Harapan itu telah menyebabkan banyak kerosakan kepada keluarga beliau dan negara dalam sebuah wawancara dengan akhbar Singapura tersebut.

Beliau juga berkata dirinya “kecewa” disebabkan kegagalan Pakatan Harapan melaksanakan agenda reformasi yang dijanjikan.

Nurul Izzah, serta Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh, antara ahli Parlimen PH yang bersuara untuk menentang pengumuman Dr Mahathir.

Nurul Izzah menulis di Twitter jawatan Ketua PAC “mesti diisi oleh pihak pembangkang untuk meneruskan akauntabiliti eksekutif”.

Pada Disember, anak sulung Presiden PKR, Anwar Ibrahim itu melepaskan jawatan partinya sebagai naib presiden dan ketua PKR Pulau Pinang menumpukan perhatian sebagai ahli Parlimen dalam membantu melakukan pembaharuan dalam kerajaan. – 26 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen