PAKATAN Harapan (PH) tidak perlu memanggil mesyuarat majlis kepimpinan untuk menyelesaikan isu Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), kata Timbalan Presiden PH, Muhyiddin Yassin.
PAC kehilangan beberapa anggota selepas pengerusi Ronald Kiandee menyertai Bersatu yang merupakan komponen PH.
Seperti dijanjikan oleh PH dalam manifesto pilihan raya lepas, pengerusi PAC perlulah daripada pembangkang namun Kiandee yang dahulunya ahli Umno sudah menyertai PH.
Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar daripada PKR mengumumkan keluar PAC minggu lepas.
Ketua Pembangkang, Ismail Sabri Yaakob berkata penggubal undang-undang Barisan Nasional dan PAS juga keluar daripada PAC sehingga Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad menyemak kembali keputusan mengekalkan Kiandee dan melantik seorang pengerusi baharu.
“Saya tidak fikir ada keperluan untuk memanggil mesyuarat majlis kepimpinan. Ini bukan masalah yang serius,” kata Muhyiddin
Menurutnya, Dr Mahathir sudah bertolak ansur.
“Beliau sudah mendengar cadangan dan memberikan maklum balas.
“Saya fikir beliau sudah pun memberi maklum balas positif kepada apa yang dicadangkan oleh pemimpin PH yang lain. Saya rasa kita patut gembira dengan hal itu,” kata Menteri Dalam Negeri ini kepada pemberita di Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi petang tadi.
Muhyiddin berkata, perkara itu akan diselesaikan dalam masa singkat.
Malah katanya, adalah perkara biasa bagi mana-mana parti politik mempunyai masalah dalaman.
“Ini bermakna kita negara demokratik dan terbuka. Semua boleh mempunyai pandangan. Itu petanda yang baik.
“Kami ada pemimpin yang sanggup mendengar seperti Dr Mahathir dalam kes ini,” katanya.
Selepas Kiandee menyertai Bersatu, Dr Mahathir berkata, tidak ada keperluan baginya untuk meletakkan jawatan sebagai pengerusi PAC sehingga membawa ketidakpuasan hati dalam kalangan pemimpin PH dan BN.
Bagaimanapun perdana menteri mengubah fikirannya selepas dikritik dan mengatakan jawatan Kiandee akan diganti tidak lama lagi. – 26 Mac, 2019.
Komen