Mahkamah putuskan perkembangan bicara kes jenayah Najib esok


Bede Hong

Ahli Parlimen Pekan Najib Razak berdepan tiga pertuduhan pecah amanah dan satu pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya berhubung wang SRC International berjumlah RM42 juta. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Mac, 2019.

MAHKAMAH Persekutuan akan memberikan keputusan sama ada perbicaraan kes pengubahan wang haram terhadap Najib Razak akan bermula serta-merta atau hanya berlangsung selepas semua rayuan pra perbicaraan selesai.

Mahkamah tertinggi itu akan memaklumkan Najib sama ada perbicaraan kesnya membabitkan SRC International akan dijalankan tanpa mengira sebarang kes rayuan berkaitan, kata peguamnya Harvinderjit Singh ketika dihubungi.

Harvinderjit berkata ketua peguam bela Najib, Muhammad Shafee Abdullah tidak akan hadir pada prosiding mahkamah esok kerana menyertai lawatan kerja.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur minggu lalu meluluskan pelepasan sementara pasport Shafee untuk ke Sabah dan Australia atas sebab kerja dari 22 Mac hingga 5 April.

Sementara itu Mahkamah Rayuan pada Khamis membenarkan penangguhan perbicaraan kes rasuah Najib membabitkan RM42 juta dari dana SRC International, sehingga rayuannya berkaitan perkara interlokutori di Mahkamah Persekutuan selesai.

Peguam Negara Tommy Thomas memberitahu mahkamah beliau akan menulis surat pada Ketua Hakim Negara Richard Malanjum bagi menetapkan tarikh perbicaraan untuk rayuan itu secepat mungkin.

Dalam membenarkan permohonan penangguhan itu, Hakim Zabariah Mohd Yusof yang mempengerusikan panel tiga hakim menolak tiga daripada empat rayuan dikemukakan oleh bekas perdana menteri itu.

Mahkamah membenarkan permohonan Najib untuk pihak pendakwa memberi salinan surat pelantikan secara ad hoc pendakwa raya Sulaiman Abdullah.

Tiga perkara lain yang dirayu oleh Najib ialah mendapatkan perintah gag order bagi melarang media dan masyarakat umum membincangkan merit kes jenayahnya; akses kepada dokumen siasatan termasuk penyata saksi di peringkat pra perbicaraan; dan penarikan balik peguam negara terhadap sijil pemindahan, di mana ia ditolak oleh panel awal hari ini.

Najib akan membuat rayuan terhadap permohonannya yang ditolak itu di Mahkamah Persekutuan.

Ahli Parlimen Pekan berusia 66 tahun itu berdepan tiga pertuduhan pecah amanah dan satu pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya berhubung wang SRC International berjumlah RM42 juta.

Beliau juga dituduh dengan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama. – 26 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen