JEPUN semalam mengumumkan akan menarik semula perintah pengosongan di salah sebuah dua bandar yang mempunyai kilang nuklear Fukushima.
Pegawai Pejabat Kabinet Yohei Ogino berkata kerajaan merancang untuk menarik semula perintah ke atas bandar Okuma pada 10 April.
Ini merupakan kali pertama kerajaan menarik semula perintah itu di bandar Okuma dan Futaba, yang menempatkan loji nuklear Fukushima Daiichi.
Datuk Bandar Okuma, Toshitsuna Watanabe menyambut baik keputusan kerajaan itu.
“Ini membolehkan kami mengambil langkah pertama (ke arah pembinaan semula) selepas lapan tahun,” Watanabe dipetik berkata.
Pada Mac 2011, Jepun dilanda gempa bumi yang mencetuskan tsunami, meragut 18,000 nyawa. Ia juga mencetus kemalangan nuklear terburuk di negara itu.
Kerajaan Jepun telah menarik perintah pengosongan ke atas kebanyakan wilayah yang terjejas akibat bencana itu. Ini bagi membolehkan penduduk kembali ke kampung masing-masing.
Tokyo telah melaksanakan program dekontaminasi melibatkan pembuangan tanah yang dicemar bahan radioaktif dan membersihkan kawasan yang terjejas.
Tidak seorang pun direkodkan maut akibat kesan radiasi Fukushima, tetapi pada tahun lalu kerajaan mengakui seorang lelaki mati akibat barah selepas terlibat dalam program pembersihan di kawasan terjejas.
Bagaimanapun, masih 60% daripada penduduk di Fukushima masih bimbang terhadap radiasi. – AFP, 26 Mac, 2019.
Komen