INDUSTRI aeroangkasa Malaysia terus melonjak dengan ramalan perkembangan sektor itu bakal mencecah nilai RM800 juta susulan pelaburan yang diluluskan pada 2018, kata Dr Mahathir Mohamad.
Perdana menteri berkata 11 projek pelaburan aeroangkasa bernilai RM816.3 juta diluluskan tahun lalu.
Berucap pada pembukaan Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) ke-15 2019 (LIMA ‘19) di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri pagi ini, Dr Mahathir berkata projek itu dijangka mencipta 1,500 peluang pekerjaan.
Beliau berkata perkembangan positif tahun lalu khususnya dalam perniagaan pembuatan aeroangkasa dan MRO (penyelenggaraan, membaiki dan baik pulih) yang masing-masing meliputi 48% dan 46% dari keseluruhan pasaran.
Industri itu memperoleh RM14.4 bilion dan menyediakan 24,500 pekerjaan berkemahiran tinggi.
Di peringkat antarabangsa, Malaysia dikenali sebagai penghasil produk aeroangkasa berkualiti untuk syarikat utama dunia seperti Airbus, Boeing, Rolls-Royce, Safran, Honeywell dan Thales.
Malaysia membuat bahagian dan komponen aeroangkasa seperti penutup kipas oleh Composites Technology Research Malaysia (CTRM), pintu pesawat oleh Spirit AeroSystems, bekas kipas oleh UMW Aerospace, brek karbon oleh Safran Landing Systems, sistem avionik oleh Honeywell Aerospace Avionics.
“Sebahagian produk ini dipamerkan di LIMA`19 untuk menunjukkan kemampuan Malaysia dalam menghasilkan produk aeroangkasa bertaraf dunia.
“LIMA`19 berfungsi sebagai tempat untuk mereka yang terlibat dalam industri ini di peringkat dunia mencari pembekal tempatan yang mengeksport produk aeroangkasa,” katanya.
Tahun lalu, keseluruhan eksport peralatan dan bahagian berkaitan pesawat dibuat di Malaysia bernilai RM8.48 bilion, meningkat 20.7% berbanding 2017. – 26 Mac, 2019.
Berita penuh di sini.
Komen