KANADA memberikan suaka kepada seorang wanita yang membantu Edward Snowden bersembunyi di Hong Kong selepas dia membocorkan maklumat tentang program pengawasan antarabangsa AS, kata persatuan hak pelarian semalam.
Vanessa Rodel dan anak perempuannya Keana, 7, dijadualkan tiba di Toronto lewat Isnin menerusi penerbangan dari Hong Kong, kata persatuan For the Refugees. Mereka akan ke Montreal hari ini untuk menetap di sana sebagai pelarian yang ditaja.
Rodel antara individu yang melindungi Snowden, seorang bekas kakitangan CIA dan kontraktor Agensi Keselamatan Negara AS (NSA), membenarkannya tinggal di pangsapurinya pada 2013 ketika melarikan diri daripada pihak berkuasa AS di Hong Kong.
Tindakannya membocorkan maklumat sulit mendedahkan kewujudan program pengawasan global dijalankan oleh NSA dengan kerjasama Australia, Britain dan Kanada.
Snowden, yang kini tinggal di Rusia didakwa pada Jun 2013 di AS atas kesalahan merisik dan mencuri rahsia negara.
Kanada memberikan Rodel, seorang warga Filipina dan anak perempuannya hak suaka pada Januari tetapi dirahsiakan atas sebab keselamatan, menurut For the Refugees.
“Saya dan Keana boleh menjalani kehidupan sebenar, masa depan di Kanada,” kata Rodel kepada Radio-Canada menerusi telefon sebelum menaiki pesawat ke Toronto.
Dalam satu Twitter di Perancis, Snowden berkata: “Terima kasih kepada semua termasuk di Kanada dan seluruh dunia, menjadikan semua ini kenyataan. Selepas bertahun-tahun, keluarga pertama yang membantu saya akhirnya bebas, dan ada masa depan.”
Lima lagi individu yang membantu Snowden turut memohon suaka tetapi masih berada di Hong Kong menanti jawapan, menurut akhbar National Post. – AFP, 26 Mac, 2019.
Komen