8 AJK SIGC lantikan MB patut letak jawatan juga, kata ahli


Diyana Ibrahim

Semalam, Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun dilaporkan bakal meletakkan jawatan selepas mesyuarat tergempar SIGC menarik balik larangan penjualan arak di SIGC. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Mac, 2019.

AHLI Kelab Golf Antarabangsa Seremban (SIGC) mendesak lapan ahli jawatankuasa (AJK) yang dilantik Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun atas kapasitinya sebagai presiden untuk mengikut jejak langkah beliau, turut letak jawatan.

Langkah itu wajar kerana pelantikan mereka dibuat oleh mereka dan bukannya ahli, kata seorang ahli SIGC yang enggan mendedahkan namanya.

“Memang perkara ini bukan atas undang-undang, tetapi secara asasnya, ahli jawatankuasa ini dilantik oleh menteri besar dan apabila menteri besar nak letak jawatan maka mereka pun kena ikut samalah, ketuanya tidak ada.

“Kita tidak pilih orang (ahli jawatankuasa) ini, ahli-ahli tidak mengundi. Ia lantikan secara terus oleh menteri besar,” kata ahli itu, yang juga seorang peguam kepada The Malaysian Insight.

Sebagai presiden, Aminuddin boleh melantik setiausaha, bendahari, kapten kelab dan lima AJK kelab tersebut.

Semalam, Aminuddin dilapor akan meletakkan jawatan selepas mesyuarat tergempar SIGC menarik balik larangan penjualan arak di kelab berusia 67 tahun itu. Larangan itu sebelum ini diputuskan oleh jawatankuasa.

Aminuddin yang juga exco hal ehwal agama sebelum itu mengancam untuk letak jawatan jika kelab berkenaan tidak menjaga sensitiviti penduduk tempatan dengan terus menjual arak.

Menurut sumber, Aminuddin bebas untuk letak jawatan tanpa terikat dengan perlembagaan kelab.

“Kalau beliau kata nak letak jawatan sebab tidak mahu bercanggah dengan konflik kepentingan sebagai exco bagi kami ia cukup adil.

“Beliau bebas untuk letak jawatan tidak ada undang-undang yang boleh halang.”

Padang golf SIGC dimiliki kerajaan negeri manakala rumah kelab dan kemudahan sukan lain dimiliki ahli seramai kira-kira 1,100 orang. – Gambar Facebook, 26 Mac, 2019.

Pada masa sama sumber juga berkata ada cadangan ahli yang mahu kelab golf milik kerajaan negeri itu diuruskan semula oleh ahli.

Padang golf kelab itu dimiliki kerajaan negeri manakala rumah kelab dan kemudahan sukan lain dimiliki ahli seramai kira-kira 1,100 orang.

“Perkara ini juga ada dibincangkan oleh ahli. Dengan erti kata lain, kita mahu kelab ini bebas daripada pengaruh politik.

“Ia pernah berlaku dulu. Maksudnya tidak ada lantikan politik, seperti menteri besar… biar ahli yang uruskan sepenuhnya dan ada pilihan raya untuk pilih jawatankuasa dan presiden,” katanya.

Sementara itu, seorang ahli kelab Shanjoy Roy Choudhury berkata mengikut perlembagaan kelab Aminuddin tidak boleh letak jawatan sebaliknya perlu menggunakan istilah “melepaskan kedudukan” sebagai presiden.

“Ini kerana perlembagaan kelab menyatakan presiden kelab ialah menteri besar.

“Melainkan kalau beliau letak jawatan sebagai menteri besar, jadi menteri besar yang baharu akan dilantik sebagai presiden, itu undang-undangnya,” kata Shanjoy.

Bekas setiausaha agung SIGC itu berkata menteri besar mempunyai hak memilih untuk tidak menghadiri apa saja mesyuarat luar biasa atau tahunan kelab.

“Kelab boleh berfungsi tanpa kehadiran beliau. Melainkan jika beliau perlu memberikan arahan mengenai tanah (padang golf) kerana ia dimiliki kerajaan negeri.

“Isa Samad dulu pun tidak pernah menghadiri mana-mana mesyuarat kelab SIGC,” katanya merujuk bekas menteri besar antara 1982 hingga 2004 itu. – 26 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen