Presiden Mali ikrar tingkatkan keselamatan


Presiden Mali Ibrahim Boubacar Keita semalam berikrar akan meningkatkan keselamatan di kampung Ogassogou, penempatan etnik Fulani dekat bandar Mopti susulan serangan maut pada Sabtu lalu. – Gambar EPA, 26 Mac, 2019.

PRESIDEN Mali Ibrahim Boubacar Keita semalam berikrar akan meningkatkan keselamatan ketika melawat sebuah kampung yang mana 160 terbunuh dalam serangan oleh kumpulan bersenjata.

“Kita perlukan keselamatan di sini - ini misi kami,” kata Keita ketika memberi perintah kepada ketua tentera, jeneral Aboulaye Coulibaly yang dilantik pada Ahad selepas kejadian itu.

Serangan berlaku di kampung Ogassogou, penempatan etnik Fulani dekat bandar Mopti pada Sabtu lalu.

Serangan disyaki dilakukan oleh pemberontak dari kumpulan etnik Dogon, etnik pemburu dan peladang yang mempunyai sejarah ketegangan sekian lama dengan etnik Fulani.

Stesen televisyen ORTM pada Ahad berkata angka korban setakat hari itu ialah 136 orang.

Lewat Isnin, seorang pegawai tempatan dan sumber keselamatan berkata angka itu naik kepada 160 orang dan mungkin lebih.

“Angka terbaru ialah 160 orang dan mungkin boleh jadi lebih,” kata ahli majlis tempatan, Amadou Diallo, yang menyifatkan serangan itu sebagai serangan pembersihan etnik.

Mangsa yang kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, ditembak dan dikelar ditetak dengan parang.

Ia merupakan serangan paling dahsyat di Mali sejak campur tangan tentera diketuai Perancis pada 2013, mengusir kumpulan jihadis yang menguasai utara negara itu. – AFP, 26 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen