Kilang di Sungai Petani tak boleh import sisa plastik, kata menteri


Noel Achariam

Penduduk Sungai Petani juga mahu tahu apakah status kilang memproses sisa buangan haram di kawasan perindustrian Bakar Arang. – Gambar The Malaysian Insight oleh David S T Loh, 26 Mac, 2019.

KILANG-kilang di Sungai Petani, Kedah tidak dibenarkan mengimport sisa plastik memandangkan permit import (AP) mereka masih lagi dikaji, kata Zuraida Kamaruddin.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu menggesa pihak berkuasa untuk mengambil tindakan jika ada syarikat yang memproses sisa plastik.

“Sebagai contoh, pihak majlis boleh mengeluarkan kompaun manakala Jabatan Alam Sekitar (JAS) mempunyai kuasa untuk merampas dan menyita serta menutup operasi kilang haram jika mereka tidak mematuhi Akta Kualiti Alam Sekitar,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Pencemaran sisa toksik di Sungai Kim Kim di Pasir Gudang, Johor baru-baru ini, mencetuskan kebimbangan penduduk di Sungai Petani sehingga mereka sanggup mewujudkan unit kawalan sukarela bagi memantau pembuangan sisa kilang di kawasan mereka.

The Malaysian Insight mendapatkan penjelasan penduduk Sungai Petani yang mendakwa dalam tempoh dua tahun, lebih 10 kilang kitar semula sisa buangan wujud di kawasan mereka.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bakar Arang Simon Ooi Tze Min memberitahu The Malaysian Insight bahawa satu-satunya cara untuk menghalang percambahan kilang haram di Sungai Petani dengan berhenti memberi AP kepada mereka.

Beliau berkata terdapat kaitan tidak langsung antara AP diberikan kepada kilang yang sah dan kilang haram.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin mengulas mengenai isu kilang haram yang memproses sisa plastik di Sungai Petani. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Mac, 2019.

Apabila ditanya mengenai kewujudan kilang haram di Sungai Petani, Zuraida berkata terdapat operasi bersama yang dijalankan membanteras aktiviti itu melibatkan kerjasama JAS, Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), polis dan agensi berkaitan pada 6 Januari lalu.

“Pihak berkuasa akan meneruskan usaha mereka mengadakan lebih banyak operasi.”

Zuraida berkata ketika ini terdapat 21 syarikat di seluruh negara yang mempunyai AP untuk mengimport sisa buangan plastik manakala kementerian masih lagi mengkaji permohonan daripada 28 syarikat.

“Buat masa ini hanya 21 syarikat dibenarkan mengimport sisa buangan plastik dan jumlah ini akan bertambah jika syarikat lain mematuhi syarat baharu yang ditetapkan kementerian.”

Kerajaan mengetatkan lesen import sisa plastik dengan menetapkan syarat baharu bagi semua pengimport pada 26 Oktober 2018.

Antara syarat baharu yang ditetapkan adalah keperluan menghantar lokasi kilang memproses sisa buangan, menghantar senarai pembeli akhir barangan yang dikitar semula, menghantar senarai kilang di bawah syarikat induk, syarikat hanya dibenarkan menyimpan 70% sisa plastik import di kilang bagi menggalakkan penggunakan sisa buangan plastik tempatan,

Difahamkan terdapat 114 syarikat yang memiliki AP sisa buangan plastik tetapi hanya 54 yang masih aktif dan daripada jumlah itu, hanya lapan yang memenuhi syarat.

Sejak tahun lalu, semua syarikat tersebut perlu memohon semula AP mengikut prosedur dan syarat baharu yang ditetapkan kementerian. – 26 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen