Seru angkat senjata, imam di Republik Czech kena pecat


Leonid Kushnarenko berkata beliau mengeluarkan kenyataan itu sebagai membalas sentimen Islamofobia di negara tersebut. – Gambar YouTube, 25 Mac, 2019.

SEORANG imam masyarakat Islam di Prague, dipecat serta-merta selepas menggesa penduduk Muslim di Republik Czech untuk mengangkat senjata ekoran serangan pengganas di Christchurch.

Pusat Masyarakat Islam Czech dalam kenyataannya berkata berdasarkan mesyuarat pada 24 Mac, pihaknya mengambil keputusan untuk membatalkan keahlian Leonid Kushnarenko dengan serta-merta.

“Keputusan ini dibuat selepas Kushnarenko mengeluarkan kenyataan yang boleh mengundang bahaya kepada keselamatan masyarakat Islam di Republik Czech.”

Dalam kenyataannya, Kushnarenko menawarkan perkhidmatan kepada penduduk Islam di Prague untuk mendapatkan senjata selepas seorang pengganas warganegara Australia membunuh 50 jemaah di dua masjid di Christchurch, New Zealand pada 15 Mac lalu.

Akhbar Denik N memetik kenyataan Kushnarenko sebagai berkata beliau mengeluarkan kenyataan itu sebagai membalas sentimen Islamofobia di negara tersebut.

Presiden Czech Milos Zeman memenangi penggal keduanya pada tahun lalu dengan retorik anti-Islam yang kuat manakala parti SPD yang antimigran kini memiliki 19 daripada 200 kerusi Parlimen.

Kushnarenko berkata beliau layak untuk merayu keputusan membatalkan keahliannya, tetapi enggan berbuat demikian.

Republik Czech diangggarkan mempunyai 10,000 hingga 20,000 penduduk Islam daripada keseluruhan 10.6 juta penduduk. – AFP, 25 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen