Pengasas Jet Airways letak jawatan demi pulihkan syarikat


Jet Airways yang memiliki hutang lebih AS$1 bilion dalam kenyataannya berkata pinjaman sebanyak AS$218 juta akan diberikan sebagai dana segera bagi memulihkan syarikat penerbangan itu. – Gambar AFP, 25 Mac, 2019.

PENGASAS syarikat penerbangan India Jet Airways, Naresh Goyal meletak jawatan sebagai pengerusi dan meninggalkan barisan lembaga pengarah sebagai pelan menyelamatkan syarikat itu.

Jet Airways yang memiliki hutang lebih AS$1 bilion dalam kenyataannya berkata pinjaman sebanyak AS$218 juta akan diberikan sebagai dana segera bagi memulihkan syarikat penerbangan itu.

Syarikat yang beribu pejabat di Mumbai dan kedua terbesar di India, terpaksa mengurangkan operasi tiga perempat daripada 119 pesawatnya ekoran kemelut kewangan yang dihadapi.

Syarikat itu tidak mampu membayar pajakan pesawat selain juruterbangnya mengadu menerima gaji lewat.

Ribuan penumpang terkandas sejak beberapa minggu lalu selepas beberapa penerbangan syarikat itu dibatalkan.

Jet Airways mempunyai lebih 20,000 pekerja.

Jika syarikat itu gagal diselamatkan, ia akan memberi kesan terhadap reputasi Perdana Menteri Narendra Modi menjelang pilihan raya umum pada 1 April depan.

Jumlah pengguna pengangkutan udara di India meningkat mendadak sejak sedekad lalu apabila golongan pertengahan berpeluang menaiki penerbangan murah.

Sektor penerbangan negara itu diramalkan menjadi ketiga terbesar dunia menjelang 2025.

Sama seperti syarikat penerbangan lain, Jet Airways menerima kesan daripada harga minyak global yang tidak menentu dan nilai lemah mata wang rupee selain persaingan sengit syarikat tambang murah yang lain.

Kemelut syarikat itu mula didedahkan pada Ogos selepas ia gagal melaporkan pendapatan suku tahunannya atau membayar gaji staf mengikut masa.

Kemudian syarikat itu dilaporkan mengalami kerugian AS$85 juta. – AFP, 25 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen