MAJLIS Kepercayaan Islam Perancis (CFCM) mengemukakan saman terhadap syarikat gergasi Internet Facebook dan YouTube kerana menyiarkan secara langsung video serangan pengganas yang mengorbankan 50 nyawa di Christchurch tengah bulan ini.
Majlis itu berkata pihaknya menyaman dua cawangan Facebook dan YouTube di Perancis kerana menyiarkan mesej mengandungi keganasan atau kejadian yang menggugat maruah manusia dan ditonton oleh golongan bawah umur.
Di Perancis, kesalahan sedemikian boleh dihukum dengan tiga tahun penjara dan denda 75,000 euro.
Facebook berkata pihaknya memadam video itu dengan pantas selepas seorang pengganas warganegara Australia menyerang dua buah masjid di Christchurch pada 15 Mac lalu.
Rakaman selama 17 minit itu turut dikongsikan dalam YouTube dan Twitter menyebabkan platform Internet itu berusaha memadamkan semua rakaman kejam itu.
CFCM mewakili jutaan penduduk Islam di Perancis berkata, Facebook mengambil masa 29 minit sebelum memadamkan siaran langsung itu. – AFP, 25 Mac, 2019.
Komen