SEORANG lelaki bersenjatakan pistol menembak mati lima orang mangsa di utara China sebelum penembak itu ditahan polis.
Polis turut merampas sejumlah peluru daripada suspek yang cedera dalam insiden itu, kata pihak berkuasa di Tongliao, sebuah bandar China yang terletak di wilayah Inner Mongolia.
Kejadian tembakan itu berlaku pukul 3.30 petang waktu tempatan dan motif kejadian itu masih lagi disiasat.
Polis daerah itu belum mengeluarkan sebarang maklumat lanjut berhubung kejadian tersebut.
Insiden keganasan senjata jarang berlaku di China memandangkan undang-undang ketat untuk memiliki senjata api di negara itu.
Malah tiada statistik rasmi berhubung kematian yang dikaitkan dengan serangan tembakan.
Pada November 2017, tiga orang ditembak mati dan enam lagi cedera dalam insiden tembakan rambang di wilayah Guangdong.
Pada Januari tahun yang sama, seorang pegawai kerajaan di wilayah Sichuan menyerbu masuk mesyuarat kerajaan dan melepaskan tembakan yang mencederakan datuk bandar dan seorang setiausaha sebelum dia membunuh diri. – AFP, 25 Mac, 2019.
Komen