Kanak-kanak antara 12 korban serangan udara AS di Afghanistan


AS merupakan satu-satunya anggota tentera pakatan di Afghanistan yang menyediakan sokongan udara dalam perang di negara tersebut. – Gambar EPA, 25 Mac, 2019.

SEKURANG-kurangnya 13 orang awam maut, kebanyakannya kanak-kanak dalam satu serangan udara tentera antarabangsa di bandar Kunduz, utara Afghanistan semalam, lapor Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Serangan itu merupakan sokongan terhadap operasi darat yang dilancarkan tentera prokerajaan untuk menentang militan Taliban di kawasan itu.

“Maklumat awal menunjukkan 10 mangsa yang maut merupakan kanak-kanak,” kata PBB menerusi satu kenyataan.

Amerika Syarikat (AS) merupakan satu-satunya anggota tentera pakatan di Afghanistan yang menyediakan sokongan udara dalam perang di negara tersebut.

Seorang jurucakap NATO berkata siasatan berhubung kejadian itu sudah dijalankan.

Peningkatan serangan udara oleh AS dan tentera Afghanistan menyumbang kepada banyak kematian orang awam pada 2018, dengan lebih 500 orang awam terbnuh sepanjang tahun lalu.

Pertempuran masih berterusan di seluruh Afghanistan walaupun AS dan Taliban berusaha mencapai perjanjian damai bagi menamatkan perang hampir 18 tahun di negara itu.

Menurut PBB, sekurang-kurangnya 32,000 orang awam terbunuh dan 60,000 lagi cedera dalam tempoh 10 tahun lalu akibat konflik di negara itu. – AFP, 25 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen