Guna buruh paksa, mahkamah arah rampas aset Mitsubishi 


Kira-kira 780,000 rakyat Korea dikerah menjadi buruh paksa oleh Jepun sepanjang 35 tahun penjajahan itu di Semenanjung Korea. – Gambar AFP, 25 Mac, 2019.

SEBUAH mahkamah Korea Selatan mengarahkan aset firma Mitsubishi dirampas selepas syarikat gergasi Jepun itu didapati menggunakan buruh paksa semasa Perang Dunia Kedua, lapor sebuah kumpulan aktivis hari ini.

Jepun dan Korea Selatan merupakan negara demokrasi dan sekutu Amerika Syarikat, tetapi hubungan kedua-dua negara bergolak selama berpuluh tahun ekoran pemerintahan penjajahan kejam Tokyo pada 1910 hingga 1945 di Semenanjung Korea.

Kira-kira 780,000 rakyat Korea dikerah menjadi buruh paksa oleh Jepun sepanjang 35 tahun penjajahan itu, tidak termasuk golongan wanita yang dijadikan hamba seks oleh tentera Jepun.

Selepas bertahun berjuang di mahkamah, lima mangsa buruh paksa menang kes itu di Mahkamah Agung Korea Selatan pada November dan Mitsubishi Heavy Industries diarah membayar ganti rugi sebanyak AS$132,000 bagi setiap plaintif.

Empat daripada mangsa itu memfailkan permohonan merampas harta syarikat tersebut pada Januari selepas Mitsubishi gagal mematuhi arahan mahkamah.

Seorang daripada plaintif meninggal dunia awal tahun ini.

Pada Jumaat lalu, Mahkamah Daerah Daejeon di selatan Seoul mengarahkan rampasan aset iaitu dua hak dagang dan enam paten milik Mitsubishi.

Jika syarikat itu gagal memberi kerjasama, kumpulan aktivis yang memperjuangkan kempen menentang kekejaman Jepun itu akan menjual aset milik Mitsubishi 

Jepun mendakwa semua isu pampasan sudah diselesaikan di bawah perjanjian 1965 yang mengukuhkan semula hubungan diplomatik kedua-dua negara.

Namun keputusan mahkamah di Seoul baru-baru ini mendapati penggunaan buruh paksa oleh syarikat Jepun tidak termasuk dalam perjanjian itu. – AFP, 25 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen