PM New Zealand arah tubuh RCI insiden tembakan masjid


Perdana Menteri New Zealand Jacinda Ardern berkata tujuan RCI diwujudkan bagi memastikan kejadian serangan masjid di Christchurch tidak berulang. – Gambar EPA, 25 Mac, 2019.

PERDANA Menteri New Zealand Jacinda Ardern pada Isnin mengarahkan siasatan kehakiman bebas berhubung serangan masjid Christchurch, mempersoalkan sama ada polis dan perkhidmatan perisikan berkemungkinan menghalang serangan 15 Mac itu.

Ardern berkata suruhanjaya siasatan diraja - siasatan kehakiman paling berkuasa di bawah undang-undang New Zealand - diperlukan untuk mengetahui bagaimana seorang lelaki bersenjata dapat membunuh 50 orang dalam serangan yang mengejutkan dunia.

“Adalah penting tiada perkara terlepas pandang untuk memastikan bagaimana tindakan keganasan berlaku dan bagaimana kita dapat menghentikannya,” katanya kepada pemberita.

Agensi perisikan New Zealand berdepan kritikan selepas serangan kerana hanya memberi tumpuan kepada ancaman ekstremisme Islam.

Sedangkan sebaliknya, semua mangsa adalah orang Islam dan pembunuhan dilakukan oleh seorang pengganas kulit putih yang berpegang teguh pada keyakinan umat Islam “menceroboh” negara Barat.

“Satu soalan yang perlu kita jawab ialah sama ada kita boleh atau sepatutnya tahu lebih banyak,” kata Ardern.

“New Zealand bukanlah negara yang sentiasa mengawasi segala-galanya… tetapi soalan perlu dijawab.”

Ardern ketepikan kemungkinan New Zealand memperkenalkan semula hukuman mati untuk suspek Brenton Tarrant, 28, yang ditahan beberapa minit selepas serangan dan didakwa dengan pembunuhan.

Beliau berkata butiran suruhanjaya diraja sedang dimuktamadkan tetapi ia akan komprehensif dan melaporkan dengan tepat. – AFP, 25 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen