Penjenayah terlepas jika rakyat berdiam diri, kata PM


SM Amin

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad memuji kejayaan pasukan itu menangani ancaman Daesh semasa berucap sempena sambutan Hari Polis, hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 25 Mac, 2019.

TUGAS menjaga keselamatan negara bukan tanggungjawab polis sahaja tetapi memerlukan kerjasama daripada semua rakyat, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad. 

Dr Mahathir berkata polis amat memerlukan bantuan daripada masyarakat untuk melaporkan jenayah yang berlaku bagi memastikan keberkesanan menjaga keselamatan di negara ini. 

Jelasnya, sikap berdiam diri masyarakat terhadap jenayah yang berlaku mungkin akan menyebabkan penjenayah terlepas. 

“Jangan kita lupa satu hari, apabila jenayah berlaku terhadap kita dan orang lain mengambil sikap tidak ambil tahu seperti kita dahulu, kita akan menderita dan penjenayah itu akan bebas.

“Kerana itu, slogan memerangi jenayah tanggungjawab bersama yang sering kita dengar pada masa lalu adalah sesuatu yang perlu kita hayati dan praktikkan,” katanya.

Dalam ucapan sempena Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-212 hari ini, beliau berkata kerajaan juga berpuas hati dengan profesionalisme dan keupayaan polis menjaga keselamatam dalam negara.

Perdana menteri antara lain memuji kejayaan pasukan itu menangani ancaman Daesh.

“Sehingga kini, seramai 464 orang ahli kumpulan pengganas Daesh telah ditangkap oleh pihak polis. 

“Kerajaan percaya ini dapat dicapai kerana PDRM dan anggota keselamatan yang lain memiliki pasukan risikan yang mampu menangani isu yang kompleks membabitkan kumpulan militan ini,” katanya.

Tambahnya, kerajaan juga akan menyalurkan peruntukan yang diperlukan untuk memastikan pasukan polis mempunyai kelengkapan yang sesuai dan terkini. – 25 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen