Guru dari pedalaman Kenya menang hadiah A$1 juta


Guru matematik dan fizik Peter Tabichi menerima piala Hadiah Guru Global 2019 disampaikan Putera Mahkota Dubai Hamdan bin Mohammed Al-Maktoum (kanan). – Gambar AFP, 25 Mac, 2019.

SEORANG guru matematik dan fizik dari sebuah sekolah menengah di kampung terpencil di Lembah Rift, Kenya memenangi wang tunai AS$1 juta bagi Hadiah Guru Global 2019, kata penganjur.

Menurut penganjur, Peter Tabichi memberi 80% gaji bulanannya kepada golongan miskin, menerima hadiah pada upacara Sabtu di Dubai yang dihoskan oleh bintang Hollywood, Hugh Jackman.

“Setiap hari di Afrika kita mengubah muka surat dan bab baharu. Hadiah ini bukan mengiktiraf saya tetapi generasi muda benua yang hebat ini. Saya hanya di sini kerana apa yang dicapai oleh pelajar saya,” kata Tabichi.

“Hadiah ini memberi peluang kepada mereka, dan memberitahu dunia yang mereka boleh lakukan apa sahaja,” tambahnya selepas mengalahkan sembilan finalis dari seluruh dunia untuk menerima anugerah itu.

Yayasan Varkey yang berpangkalan di Dubai, menganjurkan acara itu dan menyerahkan hadiah itu untuk kali kelima, memuji “dedikasi, kerja keras dan kesungguhan Tabichi terhadap bakat pelajarnya”.

Ia dalam satu kenyataan berkata, “beliau membawa sekolah yang mempunyai sumber serba kekurangan di pendalaman Kenya selepas menang pertandingan sains negara”.

Tabichi, 36, mengajar di sekolah menengah harian Keriko di kampung Pwani, di bahagian terpencil, di Lembah Rift Kenya, yang sering berdepan kemarau dan kebuluran.

Sekitar 95% murid sekolah “berasal dari keluarga miskin, hampir sepertiga anak-anak yatim atau hanya mempunyai seorang ibu atau bapa, dan ramai yang tidak mempunyai makanan di rumah,” kata kenyataan itu.

“Penyalahgunaan dadah, kehamilan remaja, berhenti awal dari sekolah, perkahwinan muda dan bunuh diri adalah perkara biasa.”

Untuk bersekolah, sesetengah pelajar perlu berjalan kaki sejauh tujuh kilometer (4 batu) di sepanjang jalan yang tidak boleh dilalui semasa musim hujan.

Sekolah ini, dengan nisbah pelajar-guru 58:1, hanya mempunyai satu komputer untuk kegunaan murid dan capaian Internet yang lemah, namun, Tabichi “menggunakan ICT dalam 80% pelajarannya untuk melibatkan pelajar”, kata yayasan tersebut.

Presiden Kenya Uhuru Kenyatta mengucapkan tahniah kepada Tabichi dalam mesej video, mengatakan “kisah anda adalah kisah Afrika, benua muda penuh dengan bakat”. – AFP, 25 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen