Najib tak nampak jalan keluar masalah RUU355, kata Dr Mahathir


Looi Sue-Chern

Dr Mahathir Mohamad berkata RUU355 tidak ada kena mengena dengan Islam tetapi segala-galanya berkaitan dengan politik. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 8 April, 2017.

PERDANA Menteri Najib Razak kini berhadapan dilema selepas kegagalan meminda rang undang-undang syariah PAS, RUU355, dan kehilangan sokongan parti Islam itu, kata bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata Najib tidak tahu apa yang perlu dilakukan berikutan kemelut ke atas Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 di Parlimen pada Khamis lalu.

“Saya rasa Najib tidak tahu apa hendak dilakukan. Beliau lakukan semua ini kerana inginkan sokongan PAS tetapi pada masa sama hilang sokongan pihak lain yang bukan PAS.

“Justeru, beliau dalam keadaan serba salah, dilema. Tidak nampak jalan keluar. Maka inilah cara yang boleh dilakukannya. Disebabkan tidak dapat bentangkan usul ini, beliau menyuruh PAS melakukannya.

“Saya anggap beliau akan kehilangan semua undi. Beliau gagal mendapatkan sokongan,” kata Dr Mahathir selepas forum Hardtalk bertemakan “Malaysia Selepas Najib” di Kompleks Belia dan Kebudayaan Selangor, Shah Alam, malam tadi.

Perdana menteri paling lama itu diminta mengulas mengenai apa yang berlaku di Dewan Rakyat semasa pembentangan RUU355  oleh Ahli Parlimen Marang Abdul Hadi Awang pada Khamis sebagai rang undang-undang persendirian.

RUU355 tidak dibahaskan selepas Speaker Pandikar Amin Mulia menangguhkan die sinus Dewan.

Turut dilaporkan keputusan awal sudah dibuat untuk membolehkan Hadi membentang dan menjelaskan usul itu tetapi tidak akan dibahaskan serta diundi pada persidangan ini.

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ini, yang juga pengkritik terkuat Najib berkata RUU355 tiada kena mengena dengan Islam.

Dr Mahathir berkata ia bertentangan dengan Islam jika  mencetuskan perpecahan di antara mereka.

“Ia (RUU) digunakan untuk tujuan politik. Kita yang hidup berbilang kaum dan agama mesti sensitif serta menghormati agama lain.

“Kita tidak boleh melakukan sesuatu yang boleh membuatkan orang takut kepada Islam.”

Dr Mahathir juga diminta mengulas mengenai penangguhan  Rang Undang-undang Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) (Pindaan) 2016 bagi menghalang penukaran unilateral kepada sidang Dewan Rakyat akan datang.

Beliau ditanya mengenai pendirian Bersatu mengenai isu itu.

“Kami belum membincangkan mengenai perkara itu secara mendalam. Tetapi bagi saya, ia bukan niat Islam atau kerajaan yang didominasi agama Islam untuk memaksa orang ramai melakukan perkara bertentangan dengan kehendak mereka.

“Saya fikir kita harus menghormati agama masing-masing”.

Sementara itu, awal minggu ini dilapor siasatan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Switzerland mempunyai progres walaupun Malaysia enggan memberikan kerjasama, Dr Mahathir menyindir Peguam Negara Mohamed Apandi Ali.

“Kita akan membuat kemajuan lebih baik tanpa peguam negara ini. Beliau menyembunyikan semua bukti, yang mana bukan tugas bagi seorang peguam negara. Beliau tidak boleh mengambil alih tugas hakim. Walaupun badan kehakiman menawarkan tiga lapisan mahkamah untuk merayu.

“Tetapi peguam negara ini membuat kenyataan yang tiada siapa boleh mempersoalkannya. Ia satu keputusan diktator.”

Reuters melaporkan siasatan pengubahan wang haram dalam 1MDB oleh pihak berkuasa Swiss sedang berjalan walaupun tanpa kerjasama rakan mereka dari Malaysia.

Peguam Negara Swiss Michael Lauber dipetik berkata, usaha mereka mengkaji laporan pengubahan wang haram dan dokumen bank dengan bantuan pihak berkuasa Singapura, Luxembourg dan Amerika Syarikat membuahkan hasil.

Najib adalah pengerusi lembaga penasihat 1MDB dan berulang kali menafikan sebarang salah laku berhubung masalah hutang syarikat pelaburan negara itu.

Pada Januari tahun lepas, Apandi berkata Najib tidak menyalahgunakan kedudukannya untuk mendapatkan jaminan kerajaan bagi bon RM4 bilion yang diterbitkan SRC International, bekas anak syarikat 1MDB.

Apandi juga membersihkan Najib daripada sebarang salah laku berhubung RM2.6 bilion yang disalurkan ke dalam akaun bank peribadinya. Wang itu dilaporkan diterima daripada ahli keluarga diraja Arab Saudi sejurus sebelum pilihan raya umum 2013. – 8 April, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen