JENAZAH dua mangsa tembakan Christchurch tiba di India ketika proses membawa pulang dijalankan bagi warga asing yang terbunuh dalam kejadian yang mengorbankan 50 nyawa, kata pihak berkuasa hari ini.
Suruhanjaya Tinggi India di Wellington berkata jenazah kedua-duanya tiba di tanah air dan yang ketiga dijangka pada Isnin.
Ahli keluarga dua orang lagi mangsa warga India memilih untuk dikebumikan di New Zealand, kata jurucakap konsulat.
Jenazah warga asing yang dibunuh oleh pengganas berkulit putih Australia di Chirstchurch pada 15 Mac hanya akan tiba selepas kelewatan susulan penyiasatan polis terhadap kejadian pembunuhan beramai-ramai itu.
Mereka yang terkorban, berasal dari pelbagai negara berkumpul untuk solat Jumaat di dua masjid di Christchurch ketika peristiwa pembunuhan berlaku.
Brenton Tarrant ditangkap dalam beberapa minit pembunuhan beramai-ramai dan didakwa dengan pembunuhan.
Jenazah mangsa warga India dipercayai menjadi antara yang pertama dihantar pulang.
“Saya tidak pasti mengenai status jenazah dari negara lain tetapi saya boleh katakan yang kami menjalankan proses ini secepat mungkin,” kata jurucakap Suruhanjaya Tinggi India di Wellington.
“Kami menyelesaikan prosedur dalam tempoh beberapa hari selepas diberi pelepasan.”
Jenazah yang dihantar pulang itu ialah Ansi Karippakulam Alibava, 23, seorang pelajar ijazah sarjana dari Kerala, dan Ozair Kadir, 24, yang bercita-cita menjadi juruterbang komersial dari bandar Hyderabad.
Jenazah Mahboob Khokhar, pesara berusia 65 tahun yang melawat anaknya di Christchurch ketika dibunuh, sedang dalam perjalanan ke India dan dijangka tiba sekitar jam 10 malam (0300 Selasa GMT).
Warga India yang dikebumikan di New Zealand adalah seorang bapa dan anak lelakinya, Asif dan Ramiz Vora, asalnya dari Gujarat, yang baru sahaja menyambut kelahiran anak perempuan Ramiz beberapa hari sebelum serangan itu. – AFP, 25 Mac, 2019.
Komen