KEMUNCULAN mereka dianggap memberi nama buruk kepada penggiat dan peminat muzik punk, namun kumpulan neo-Nazi Melayu tetap mempertahankan bahawa mereka tidak bersikap perkauman.
Seorang anggota kumpulan punk neo-Nazi Melayu ini mendakwa slogan “Malay Power” yang sering dilaungkan kumpulan berkenaan hanyalah untuk berseronok dan tidak bersifat rasis.
Beliau tidak mahu namanya disebut dan hanya memberi nama samaran Ozy Gandum, seperti nama satu watak dalam satu filem cereka tempatan mengenai budaya skinhead, Ophilia (2014).
Ozy memberitahu The Malaysian Insight, beliau kesal kerana sering dibenci semata-mata disebabkan slogan “Malay Power”.
Mereka merupakan salah satu daripada 10 kumpulan neo-Nazi yang sepatutnya muncul dalam satu persembahan di Ipoh pada 13 April.
Persembahan itu sepatutnya menampilkan kumpulan Black Fire, S.K.I.N.S, Purnamwulan, Xenophobia, Spider War, Total Distrust, Agasthor, Boot Axe, 13 Krieg dan S.T.F.O
Mereka turut dipromosi untuk membuat persembahan bersama empat lagi kumpulan neo-Nazi di lokasi berprestij Black Box di Publika, Kuala Lumpur pada 6 April.
Empat kumpulan tersebut adalah Xenophobia, Total Distrust, 13 Krieg, Spider War dan Jugra
Kedua-dua konsert mini itu kini dibatalkan selepas menerima tentangan masyarakat sivil dan kumpulan antifasis.
Ozy berkata, mereka sudah biasa berdepan dengan tindakan seperti itu kerana fahaman Nazi yang dipromosi oleh kumpulan sepertinya.
Namun, beliau berpendapat golongan berkenaan tidak patut dipandang hina kerana mereka juga seperti rakyat Malaysia lain yang cintakan keamanan dan sayangkan negara.
Malah, orang yang tidak menganggotai kumpulan neo-Nazi juga boleh bersifat perkauman, dakwanya.
“Orang tidak ada swastika pun lebih rasis daripada Nazi. Pakcik di surau, kutuk kaum lain, dia tak Nazi pun tapi dia rasis.

Ozy menegaskan, pergerakan Nazi di Malaysia itu hanyalah untuk berseronok dan tidak bersifat perkauman.
“Isu perkauman ini bukan hari ini baru timbul, berpuluh tahun dah isu perkauman, hanya sekarang Nazi dihentam. Nazi di Malaysia hanya semangat untuk seronok-seronok, melalui muzik,” katanya.
Ozy mendakwa, lagu-lagu yang dihasilkannya juga lebih menjurus kepada semangat nasionalis dan patriotik, tanpa menyentuh sensitiviti kaum lain.
Dakwanya lagi, kumpulan muzik neo-Nazi sepertinya juga tidak terlibat dengan tindakan kekerasan ke atas kaum lain.
“Mereka ini ingat kami tidak tahu realiti. Kita hidup dalam negara berbilang kaum, saya pun hidup berjiran dengan kaum lain. Belum pernah lagi budak-budak Nazi belasah kaum lain.
Jelasnya, istilah “Malay Power” itu pula hanyalah hubungan persaudaraan untuk membantu satu sama lain.
“Malay Power di Malaysia tidak perlu digerunkan pun. Kami hanya komuniti kecil bagi peminat muzik,” katanya lagi.
Bahaya yang perlu dibendung
Namun dakwaan seperti itu tidak meyakinkan kumpulan masyarakat sivil dan kumpulan antifasis yang melihat fahaman berkenaan sebagai satu bahaya yang perlu dibendung.
Seorang peminat muzik punk yang bertanggungjawab membuat laporan sehingga kedua-dua persembahan itu dibatalkan berkata kegiatan kumpulan berkenaan perlu disekat kerana mempromosi perkauman.
Menurutnya, tindak-tanduk dan fahaman kumpulan neo-Nazi inilah yang menyebabkan golongan skinhead sepertinya dipandang serong oleh masyarakat.
Jelasnya, penampilan mereka dan golongan neo-Nazi itu hampir sama, tetapi apa yang membezakan adalah lambang dan fahaman yang dibawa.
Menurutnya, golongan neo-Nazi ini lazimnya mempamerkan logo swastika yang popular sebagai lambang kumpulan berhaluan kanan dan pelampau kulit putih.
Lambang swastika itu digunakan oleh parti Nazi Jerman pimpinan Adolf Hitler yang kemudiannya menjadi pasukan tentera yang membunuh jutaan orang dalam Perang Dunia Pertama.
Menurut pengikut skinhead tersebut, golongan neo-Nazi ini mempunya pengikut tersendiri yang menyokong fahaman Nazi.
“Tetapi ironinya, Nazi di Eropah atau di Amerika adalah golongan kulit putih yang memperjuangkan kuasa dan ketuanan kulit putih. Mereka benci kaum dengan warna kulit lain.
“Tetapi di sini, kita ada Melayu, orang berkulit gelap yang memperjuangkan ketuanan Melayu,” katanya lagi.
Jelasnya, golongan Nazi di luar negara tidak akan mengktiraf Nazi Melayu kerana golongan itu benci kepada orang yang mempunyai warna kulit berbeza.
“Tetapi Nazi Melayu terlalu bodoh untuk mengakui perkara ini,” tambahnya.
Pengaruh kumpulan neo-Nazi ini juga dalam dilihat di kalangan peminat bola sepak yang sering mengibar bendera swastika semasa menyokong pasukan Malaysia semasa perlawanan.
Pengikut skinhead ini memberitahu The Malaysian Insight, beliau menolak golongan neo-Nazi Melayu ini atas kerana bersikap perkauman dan antiimigran.
“Mereka tiada tempat di Malaysia dan tidak patut wujud di sini kerana kita hidup dalam masyarakat pelbagai budaya dan agama.
Ia berbeza dengan sudut pandang golongan skinhead antiperkauman sepertinya yang menghormati semua golongan tanpa mengira warga kulit.
“Kami tidak akan wujud tanpa muzik ska dari Jamaica. Orang Jamaica adalah golongan berkulit hitam dan kami menerima semua orang seadanya,” katanya. – 25 Mac, 2019.
Komen