MALAYSIA masih belum berada dalam situasi bekalan air perlu dicatu, kecuali di beberapa lokasi tertentu, kata Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).
Namun hal ini boleh berubah jika hujan monsun barat daya tidak tiba pada akhir April atau jika air hujan hanya turun dengan kadar sedikit apabila ia tiba, kata Pengerusi SPAN Charles Santiago.
Santiago berkata penurunan hujan yang sedikit dijangka mungkin berlaku ekoran fenomena cuaca El-Nino.
Menurutnya, jika ia berlaku negara mungkin akan menyaksikan empangan yang membekalkan air mentah tidak dapat menakung semula air hujan.
Kementerian Air, Alam Sekitar dan Sumber Asli memberi amaran paras air di beberapa empangan di Johor dan Kedah mencatat paras air hampir 50% manakala tahap di sebuah empangan di Kelantan menurun di bawah paras 40%.
Malaysia mengalami dua musim monsun, monsun barat daya dari April hingga September dan monsun timur laut dari Oktober hingga Mac. Kedua-dua musim tersebut turut membawa hujan, walaupun musim monsun timur laut merupakan musim yang lebih basah.
Tahun ini, kementerian meramalkan penurunan hujan mungkin berkurangan sebanyak 25% dan musim kering monsun dijangka berterusan sehingga Mei.
Santiago berkata rakyat Malaysia perlu menjimatkan air dan menggunakannya dengan lebih cermat supaya bekalan air dapat menampung krisis jika hujan monsun tertangguh.
Salah faham di kalangan warga Malaysia yang mereka boleh membazirkan air kerana negara terdedah kepada hujan lebat dan banjir menyebabkan kekurangan air mentah, kata Santiago.
“Jika hujan di kawasan kejiranan anda, simpanlah air hujan. Jangan fikir anda boleh membazirkan air hanya kerana hari hujan kerana tidak bermakna ia turut hujan di kawasan tadahan air,” katanya merujuk kepada hutan, lembah, sungai dan empangan yang merupakan sumber air mentah negara.
Hujan yang tidak teraturbeberapa hari kebelakangan ini menyaksikan ribut berlaku di beberapa bandar tetapi tidak berlaku di kawasan tadahan air.

Justeru, bekalan air mentah tidak dapat ditakung semula walaupun rakyat Malaysia menyaksikan “hujan setiap hari”.
Beberapa kawasan tadahan seperti hutan Ulu Muda di Kedah, yang membekalkan air mentah ke Perlis, Kedah dan Pulau Pinang, rosak selepas aktiviti pembalakan, kata Santiago.
Di Merbok, Kedah, loji-loji rawatan air lama (LRA) di samping musim kemarau menyebabkan kekurangan dan catuan air yang teruk bagi kira-kira 10,200 pengguna.
Tahun paling buruk
Di Kota Tinggi, Johor, empangan di kawasan itu juga turut mula kering sehingga menyebabkan kekurangan bekalan air turut dirasai kira-kira 15,000 pengguna di kawasan penempatan Felda dan beberapa kampung.
Felda Simpang Waha merupakan satu daripada kawasan pertama di negara ini yang mengalami catuan air pada 16 Mac disebabkan penurunan bekalan air mentah di empangan Lok Heng.
Mohd Harris Yahya dari Felda Simpang Waha berkata beliau dan jirannya tidak menerima bekalan air selama lebih seminggu.
Kira-kira 500 keluarga penempatan tersebut terpaksa menunggu trak air dari jabatan air negeri untuk mendapatkan air terawat ke rumah mereka.
Penduduk akan mengeluarkan baldi, besen dan tangki di depan rumah mereka untuk trak air dari Ranhill Syarikat Air Johor (RSAJ) mengisi air setiap dua hari sekali sejak 16 Mac lalu.
“Kebanyakan rumah di sini diduduki warga tua tanpa bantuan anak-anak. Ada yang terpaksa keluar dan dipapah untuk membawa air ke rumah mereka. Saya melakukan yang terbaik untuk membantu tetapi tidak dapat membantu sepanjang masa,” kata Harris.
Penduduk lain, Ayu Norhaizan Idrus, berkata penempatan itu mengalami kekurangan air setiap tahun semasa musim kering antara Mac hingga Mei tetapi tahun ini menurutnya adalah paling teruk.
“Tahun-tahun sebelumnya kita tak dapat air waktu siang hari tetapi waktu malam air ada semula. Kali ini, air dimatikan sepanjang hari,” kata pengusaha kedai runcit berusia 30 tahun itu.
Di kawasan berdekatan, Felda Lok Heng Timur, seorang peneroka Samad Hassan berkata beliau hujan mula tidak muncul di kawasan itu sejak pertengahan Januari lalu.
“Saya lihat empangan yang membekalkan air ke kawasan kami. Ia terlalu kecil sehingga mudah kering. Pihak berkuasa perlu bina empangan lebih besar atau masalah ini akan terus berulang setiap tahun,” katanya lagi. – 25 Mac, 2019.

Komen