SELEPAS 70 tahun Perang Dunia Kedua berakhir, salah satu keluarga terkaya Jerman mengakui hubungan lampaunya dengan rejim Adolf Hitler.
Jurucakap keluarga Reimann, Peter Harf, memberitahu Bild am Sonntag berhasrat memberi 10 juta euro (ASD11.3 juta) kepada organisasi kebajikan selepas mengetahui sokongan orang tua mereka terhadap Nazi dan penggunaan tenaga kerja paksa mereka sepanjang perang tersebut.
“Reimann senior dan Reimann junior bersalah. Kedua-dua usahawan itu telah meninggal dunia, mereka sebenarnya harus berada di penjara,” kata Harf.
Albert Reimann meninggal dunia pada tahun 1954 dan anaknya pada tahun 1984.
Syarikat yang mereka tinggalkan, JAB Holding, kini menjadi raksasa perniagaan yang memiliki jenama isi rumah dari Clearasil hingga Calgon.
Dengan kekayaan yang dianggarkan bernilai 33 bilion euro, keluarga Reimann dipercayai merupakan keluarga kedua terkaya di Jerman.
Harf berkata, keluarga itu mula mengkaji masa lampau mereka yang gelap pada tahun 2000, dan pada tahun 2014 mereka memutuskan untuk melantik ahli sejarah bagi menghasilkan kajian menyeluruh mengenai hubungan nenek moyang mereka dengan fahaman Nazisme.
Keluarga itu merancang untuk membuat akuan penuh kepada orang ramai apabila buku itu diselesaikan oleh ahli sejarah, Paul Erker dari Universiti Munich, kata Harf. – AFP, 24 Mac, 2019.
Komen